A’TIKAH
A’TIKAH
FARAH Ilyana
FARAH Ilyana
NUR Fadilla
NUR Fadilla
Oleh Siti Zarinah Sahib


Tatkala dipertemukan dalam sesi fotografi di butik Allya Mysara ini, riuh-rendah jadinya. Jelas keakraban tiga usahawan muda ini apabila masing-masing saling berkongsi ilmu dan merendah diri apabila diusik dengan gelaran jutawan walaupun hakikatnya, kejayaan mereka sememangnya sangat dibanggakan.

Manakan tidak, pada usia belum mencecah 30 tahun masing-masing sudah mampu memiliki lebih daripada tiga butik fizikal dengan jumlah pengikut di laman sosial Facebook dan Instagram mencecah jutaan orang. Siapa yang tidak kenal jenama Zawara, Cala Qisya dan Radiusite yang memecah monopoli dan mencetuskan fenomena tersendiri menerusi penjualan dalam talian.

Bagi pengasas Cala Qisya Farah Ilyana Khairuddin, 28, dia memulakan perniagaan dalam talian ketika masih menuntut dalam jurusan Sarjana Kimia di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor bermodalkan hanya RM100 menerusi blog Oh Saya Gila Shawl. Tidak sangka perniagaan yang dikongsi bersama adiknya, Farah Mislina, mula mendapat perhatian terutama dalam kalangan kawan-kawan dan pembaca blog.

“Sedikit demi sedikit kami menambah koleksi daripada tudung kepada baju yang dibeli secara borong. Saya sendiri menggayakan setiap baju yang dijual sehingga blog mendapat perhatian ramai. Kemudian pada 2011, daripada modal yang dikumpul kami menghasilkan rekaan sendiri dengan memberikan tumpuan kepada koleksi remaja menerusi rekaan yang comel, bereben serta berwarna pastel.

“Lama-kelamaan apabila mendapat maklum balas daripada pelanggan yang meminta menghasilkan rekaan untuk wanita pertengahan usia, saya merasakan mengapa tidak mencuba. Maka terhasillah rekaan jubah pertama yang dikeluarkan sempena Aidiladha pada 2011,” katanya yang mesra disapa Yana.

Ujarnya, kemunculan laman sosial Facebook dan Twitter pada tahun sama memudahkan proses pengiklanan kerana dengan jumlah pengikut yang ramai, setiap pakaian dapat dipasarkan menepati khalayak sasaran. Malah, mereka berdua tidak duduk diam apabila menyertai bazar pada setiap hujung minggu.

Dari situ, semakin ramai mengenali jenama Cala Qisya sehingga Yana dan Farah mampu membuka butik fizikal pertama di Shah Alam.

“Memandangkan ketika itu ramai usahawan online berani membuka butik, apa yang ada di fikiran saya mengapa tidak berani mencuba? Berbekalkan semangat yang tinggi, butik pertama Cala Qisya dibuka pada 2012.

“Dengan modal yang tidak seberapa, saya membawa barang dari rumah untuk digunakan di butik kerana ingin berjimat cermat. Kedudukan butik yang berada di tingkat tiga menyebabkan pelanggan tidak mahu ke butik dan memberikan alasan penat menaiki tangga. Namun, saya dan Farah tidak kecewa dan terus memasarkan produk kerana yakin dengan kualiti yang kami sediakan,” katanya.

Kehadiran Instagram sekitar 2013 merubah aktiviti pemasaran dan penjualan menerusi dalam talian kerana ia sememangnya memberikan impak yang sangat besar.

Ujar Yana, tanpa perlu mengeluarkan modal untuk pengiklanan ia mencetuskan fenomena baru apabila jumlah pengikut di laman ini mencecah 250,000 orang dengan jumlah pembelian melebihi 100 pasang sehari.

“Menyedari ingin mendidik wanita mengenai busana Muslimah, saya menghasilkan jubah pada harga mampu milik bagi memberi peluang semua golongan menggayakannya. Mengambil konsep TopShop jenama kegilaan remaja, saya menghasilkan rekaan yang mempunyai nilai komersial dan moden tanpa meninggalkan syariat Islam,” ujarnya yang memiliki seorang cahaya mata.

Dengan cabaran yang mereka tempuhi, susah senang bersama memajukan perniagaan, kini segala penat lelah menumpahkan seluruh tenaga dan kreativiti untuk Cala Qisya akhirnya membuahkan hasil apabila mereka mampu membuka empat butik fizikal iaitu di Shah Alam, Ipoh, Johor Bahru dan terbaru, Bangi.

Cala yang bermaksud istana, bagi Yana, kepuasan pelanggan menjadi keutamaan mereka sebab itu sebagai penghargaan dia memberikan gelaran Calaqueen kepada pelanggannya dan Calasoldier kepada pekerja yang banyak membantu sehingga Cala Qisya berada pada tahap ini.

Anak sulung daripada empat beradik ini berharap, Cala Qisya kekal sebagai pakaian Muslimah pilihan ramai. Selain mengeluarkan rekaan baru setiap masa, Yana yakin setiap apa juga yang dilakukan sekiranya disertakan dengan usaha bersungguh-sungguh pasti membuahkan hasil. Kini Cala Qisya mengeluarkan produk kasut Cala Shoes di bawah rangkaian Cala Man.

Dilla cekal bangunkan Zawara

Mulutnya ramah bercerita dan tidak henti-henti memberikan panduan kepada dua sahabat karibnya ini kaedah memajukan perniagaan. Tidak lokek berkongsi ilmu, Nur Fadilla Abd Karim, 29, menimbulkan kekaguman atas kejayaannya membangunkan Zawara menerusi sistem francais sehingga mempunyai 11 butik di seluruh negara.

Memiliki Ijazah Sarjana Muda Perakaunan daripada Universiti South Australia, sekembalinya ke Malaysia, Dilla terus membuka tapak jualan dengan menjual barangan elektronik di Sunway Pyramid.

“Sejak kecil memang saya minat berniaga jadi saya tidak mengambil masa yang panjang untuk mencari pengalaman dengan berniaga kecil-kecilan. Saya percaya perniagaan bukan hanya menjual produk sebaliknya perlu tahu selok-belok mengenai sistem, akaun, pelanggan dan perkhidmatan. Lama-kelamaan saya membangunkan sistem sendiri dan membuka kedai operasi untuk barangan elektronik,” katanya.

Dengan pengalaman yang dimiliki sepanjang menguruskan tapak jualan, Dilla mula merancang mempunyai jenama pakaian sendiri kerana berasa produk wanita mampu bertahan lama. Ketika itu pakaian Muslimah tidak begitu banyak dan hanya dihasilkan usahawan bukan Islam.

“Saya terfikir mengapa tidak saya hasilkan rekaan sendiri yang menepati ciri wanita Muslimah, anggun dan pada masa sama memiliki sentuhan moden. Cabarannya dari segi modal kerana penghasilan rekaan sendiri memerlukan modal yang besar. Apa yang saya lakukan adalah mengeluarkan sejenis pakaian saja iaitu blaus pada harga RM99 dan dijual menerusi dalam talian,” ujarnya yang dibesarkan di Subang Jaya, Selangor.

Lama-kelamaan dia mula memahami mengenai trend pakaian Muslimah yang perlu teliti dari segi fabrik, warna dan ketebalannya. Sebab itu, pakaian dihasilkan dianggap mahal oleh pelanggan.

“Inilah cabaran yang terpaksa saya lalui, namun saya tetap berpegang kepada kualiti yang ditampilkan demi untuk keselesaan pelanggan,” katanya yang membuka butik pertama di bangunan Busana dan Shah Alam dengan menyediakan pelbagai rekaan pakaian termasuk jubah, gaun, blaus, skirt, palazo dan selendang.

Dilla yang mengusahakan Zawara bersama abangnya menjelaskan, sebelum membangunkan sistem francais dia mengakui tamak kerana ingin melakukan semua perkara serentak. Namun, selepas menyedari rezeki yang diperoleh perlu dikongsi dengan semua, lama-kelamaan dia berasa perlunya membangunkan sistem francais yang secara tidak langsung dapat membantu usahawan lain berniaga.

“Dengan memiliki seorang cahaya mata sudah tentu keluarga menjadi keutamaan. Namun, kesibukan membataskan masa untuk menguruskan semua butik. Di sini pentingnya sistem perniagaan yang sistematik dan mampu digunakan sehingga ke peringkat antarbangsa,” katanya yang gemar membaca kisah kejayaan jutawan dan usahawan luar negara seperti pengasas Starbuck dan Donald Trump.

Seorang yang aktif dan sentiasa berdaya saing, masa yang ada digunakan untuk merancang dan mencari jalan memajukan perniagaannya. Menyedari zaman bergerak pantas, dia tidak mahu menunggu lama untuk membuka perniagaan makanan apabila pada Mac depan rangkaian Coffee & Co akan dibuka di Bukit Jelutung, Shah Alam.

Mengambil konsep budaya Asia sama ada dari segi makanan, minuman dan gaya dekorasi, pastinya Dilla mengharapkan kafenya ini bakal mencetuskan fenomena sama seperti Zawara.

Azam A’tikah besarkan empayar Radiusite

Dia dianggap pelopor kepada penjualan tudung menerusi dalam talian. Tidak hairan setiap kali tudung terbaru dimuat naik menerusi blog atau laman sosial dalam masa satu jam saja berjaya dijual 1,000 helai.

Jika dulu dia membeli secara borong, tetapi selepas melalui satu tempoh pengalaman yang panjang, pengasas Radiusite A’tikah Ash’ari, 28, kini bukan saja menghasilkan tudung sendiri malah busana termasuk jubah, blaus dan skirt menerusi label Dreemika dan pakaian kanak-kanak.

“Alhamdulillah, perniagaan Radiusite yang diuruskan bersama suami masih diterima masyarakat sehingga ke hari ini. Tidak sangka bermula secara suka-suka menerusi dalam talian lebih lima tahun lalu, kini mampu meletakkan perniagaan ini ke tahap yang tinggi seperti sekarang,” katanya memulakan bicara.

Menceritakan bagaimana memulakan perniagaan, jelas A’tikah yang mesra disapa Ika, waktu itu dia masih menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pelancongan.

Minat berniaga secara dalam talian timbul apabila terbaca mengenai perniagaan ini di majalah. Dari situ, dengan modal permulaan RM500, dia dan suami gigih mencari dan membeli pelbagai fesyen tudung terbaru di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.

Disebabkan tidak ramai peniaga dalam talian ketika itu, blog Ika antara yang menjadi tumpuan. Ika pula bijak mencuri tumpuan pelanggan apabila memuat naik rekaan terkini selendang dengan menggayakannya sendiri.

“Saya kerap memuat naik fesyen tudung terkini di Internet menyebabkan ramai yang mula mendapatkannya. Malah keuntungan yang kami terima pula dua kali ganda daripada jumlah modal yang dilabur. Sebagai pelajar yang baru berjinak dalam perniagaan, pulangan ribuan ringgit dalam masa singkat memberikan satu kepuasan dan membuatkan kami ingin terus berusaha memantapkan perniagaan Radiusite,” jelas anak kedua daripada tiga beradik ini.

Selepas menamatkan pengajian pada 2009, Ika tekad meneruskan kesinambungan perniagaan Radiusite serta tidak mahu bekerja makan gaji. Walaupun ia menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan keluarga, Ika yakinkan ibunya yang dia bersungguh-sungguh mahu berniaga.

“Sedikit demi sedikit dengan modal yang berjaya dikumpul barulah saya berani membuka butik pertama di Rawang diikuti Shah Alam, Johor Bahru dan terbaru, Bandar Baru Bangi,” katanya.

Persaingan dalam kalangan pakaian Muslimah menjadikan dirinya lebih aktif menghasilkan rekaan terkini. Pada masa sama, kehadiran Instagram menyebabkan proses pemasaran dan pengiklanan menjadi begitu mudah.

“Namun, dengan persaingan sengit, usahawan harus lebih kreatif menghasilkan produk mereka kerana pelanggan mempunyai pelbagai pilihan dengan rekaan yang jauh lebih murah. Namun Radiusite sentiasa mengekalkan kualiti dari segi fabrik dan potongan pakaian untuk kepuasan pelanggan yang tidak putus-putus memberikan sokongan,” ujarnya ramah.

Pada masa akan datang, Ika berharap jenama ini terus diterima pelanggan dan Radiusite mampu melebarkan sayap ke setiap negeri di seluruh Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Februari 2015 @ 12:32 PM