SELAIN jubah, By Eliez turut menyediakan selendang polos dengan ropol di bahagian tepi.
SELAIN jubah, By Eliez turut menyediakan selendang polos dengan ropol di bahagian tepi.
MENGGUNAKAN fabrik sutera satin lebih lembut dan tidak melekat pada tubuh.
MENGGUNAKAN fabrik sutera satin lebih lembut dan tidak melekat pada tubuh.
Oleh Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

Lambakan busana Muslimah di pasaran menjadikan seorang pereka lebih kreatif menghasilkan rekaan. Walaupun hadir dengan pelbagai jenama berbeza, apa yang dipasarkan sentiasa berlainan sesuai dengan kehendak wanita moden masa kini.

Bagi pemilik jenama dalam talian By Eliez, Nor Eliza Mohd Dom, walaupun masih baru dalam perniagaan ini, rekaan yang dihasilkan tidak kurang hebatnya.

Menceritakan pembabitan awal dalam perniagaan berkenaan, jelas Eliza, selepas berhenti kerja dan berehat selama tiga tahun dia berasa sudah tiba masanya menghasilkan sesuatu memandangkan anak semakin membesar.

"Bermula dengan sekadar ingin mengisi masa terluang, saya menjual tudung yang diperoleh daripada pembekal secara dalam talian melalui Instagram, Facebook dan laman web. Permintaan menggalakkan menyebabkan saya memikirkan untuk menghasilkan jenama sendiri.

"Selepas mengambil kira pendapat kawan dan apa yang ada di pasaran, terhasillah jubah Sumaira yang lebih sederhana. Ia tidak mengikut bentuk badan dan sesuai menjadi pakaian harian, juga untuk ibu menyusukan bayi mereka," katanya.

Berkongsi idea dengan kakaknya, Ezdiani Ilyana, dia mengambil pendekatan untuk menghasilkan jubah yang tidak menggunakan perincian manik, renda mahupun sekuin supaya lebih sederhana dan selesa dipakai. Jubah Sumaira yang kemas dan berkaki menjadi tanda pengenalan kepada jenama ini.

Busana By Eliez menggabungkan rona asas sebagai pilihan utama. Untuk koleksi jubah pertama, kombinasi warna tidak terlalu terang supaya sesuai dengan penampilan Muslimah moden manakala fabrik berkualiti menjadi pilihan.

"Sebagai pereka, sangat penting menggunakan material berkualiti supaya pelanggan selesa menggayakannya. Kualiti yang dimaksudkan adalah fabrik yang tidak terlalu nipis supaya tidak menampakkan susuk tubuh atau melekat ketika dipakai. Paling penting, tidak panas sesuai dengan iklim di Malaysia terutama bagi wanita yang gemar memakai jubah sepanjang hari," jelasnya yang kini memasarkan koleksi busana dan tudung di Shah Alam dan Seremban 3, Negeri Sembilan.

Selain jubah, jenama itu turut menyediakan koleksi tudung Daania menggunakan fabrik sutera satin dan Daneen sifon.

Pada masa depan, dua beradik ini ingin memasarkan produk By Eliez secara lebih meluas menerusi dalam talian dan jualan di butik kafe selain menjengah pasaran antarabangsa khususnya di Eropah. Koleksi tudung dan pakaian mereka bermula daripada RM29 sehingga RM159.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 November 2014 @ 5:02 AM