SENTIASA mengutamakan pelanggan menjadi prinsip Atikah.
SENTIASA mengutamakan pelanggan menjadi prinsip Atikah.
KOLEKSI ibu dan anak yang menjadi tarikan.
KOLEKSI ibu dan anak yang menjadi tarikan.
ATIKAH menggayakan pakaian sedondon ibu dan anak.
ATIKAH menggayakan pakaian sedondon ibu dan anak.
Oleh Siti Zarinah Sahib


Tiada siapa menyangka dengan hanya bermula secara kecil-kecilan menerusi penjualan tudung dalam talian, kini Radiusite sudah boleh tersenyum bangga apabila melancarkan pembukaan butik kelima di Bangi Sentral pada awal Febuari lalu.

Menurut pengasas jenama ini, Atikah Ash’ari, 28, dia tidak pernah menyangka mampu mengetengahkan jenama sendiri hanya bermodalkan RM500. Memulakannya dengan tudung yang diambil secara borong, Atikah mula mencari idea menghasilkan rekaan sendiri kerana berasakan ia lebih memberikan kepuasan.

“Saya mula menghasilkan tudung bersengkuap kemudian rekaan selendang yang bersifat kasual serta eksklusif untuk majlis perkahwinan. Tidak sangka ia mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Setiap kali dipaparkan di Facebook dan Instagram, pasti semua tudung ini habis dijual,” katanya.

Memberikan kelainan berbanding jenama tudung di pasaran, Atikah gemar bermain dengan warna dan cuba menghasilkan tudung berbeza dengan pereka lain antaranya selendang separuh bulan bermanik yang mencetuskan fenomena tersendiri.

Sokongan daripada pelanggan menyebabkan dia mula mengeluarkan rekaan pakaian menerusi butik Dreemika dengan blaus, jubah, jaket, seluar dan skirt.

“Rekaan jubah yang lebih segar sentiasa dinanti-nantikan pelanggan. Ini kerana saya menghasilkan rekaan yang mudah digayakan terutama untuk remaja, wanita berkerjaya serta pertengahan usia. Mereka pula boleh mendapatkan selendang bagi memadankannya dengan busana,” katanya.

Dengan pembukaan butik kelima Radiusite di Bangi, Atikah berharap ia memberi peluang kepada pelanggan setia serta baru yang berada di kawasan berhampiran mendapatkan tudung dan pakaian keluaran terkini yang sebelum ini hanya diperoleh menerusi alam maya.

“Dengan datang sendiri ke butik, pelanggan boleh melihat sendiri, seterusnya memegang material busana dan tudung bagi mengetahui kualiti yang kami sediakan. Selain pakaian dan tudung, kami turut mengeluarkan busana kanak-kanak di bawah label Dreemikids,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Februari 2015 @ 5:08 AM