MEMULAKAN perniagaan sejak berusia 14 tahun memberi satu kelebihan kepada Mohamad Khawarizmi.
MEMULAKAN perniagaan sejak berusia 14 tahun memberi satu kelebihan kepada Mohamad Khawarizmi.
Siti Nadirah Hafidzin

Impian hidupnya besar. Dia mahu membuktikan lelaki juga mampu berjaya dalam bidang kecantikan yang lebih sinonim dengan wanita dan pada masa sama membantu semua golongan untuk menjana pendapatan.

Dia semakin menghampiri impiannya untuk melakar kejayaan dalam usia muda bukan saja di negara ini malah di negara jiran dalam memperkenalkan jenamanya.

Anak muda kelahiran Jitra, Kedah yang baru berusia 22 tahun ini tidak terkenal seperti nama besar dalam bidang kecantikan namun semangat dan usahanya wajar dicontohi.

Memulakan perniagaan sejak berusia 14 tahun ketika masih di bangku sekolah, Mohamad Khawarizmi Noor Rizan atau lebih dikenali dengan panggilan Tuan Sam Wong berkata, minat dalam perniagaan membuatkan dia cuba menceburi bidang itu walaupun pada usia yang sangat muda.

“Ketika itu saya lihat pelbagai perniagaan rancak dijalankan secara atas talian di laman sosial terutamanya Facebook yang membuatkan saya tertarik untuk menjana pendapatan sendiri.

“Walaupun masih terlalu muda tetapi saya berjaya buktikan usia bukan penghalang untuk berjaya. Asalkan bijak mencari peluang dan menguruskan kewangan dengan baik segalanya bukan penghalang,” katanya.

Menurut Mohamad Khawarizmi, dia tidak mempunyai latar belakang dalam bidang perniagaan juga tidak dikelilingi individu yang terbabit dalam bidang ini.

“Semuanya saya mulakan sendiri. Saya atur hidup sebaik mungkin selain fokus dengan matlamat dan impian yang mahu dikecapi. Syukur, akhirnya saya berjaya memiliki perniagaan dengan jenama sendiri.

“Mungkin bagi sesetengah individu, saya masih terlalu muda tetapi saya sudah mampu menguruskan perniagaan dengan baik walaupun perlu melalui pelbagai suka duka sebelum berada pada tahap ini,” ujarnya.

Mohamad Khawarizmi yang juga pengasas jenama kecantikan Glamrose Legacy Marketing berkata, dia juga tidak terlepas daripada cengkaman duri cabaran apatah lagi bagi anak muda sepertinya yang tiada asas perniagaan.

“Saya bermula dengan menjadi ejen dan stokis pelbagai produk. Jika diingat kembali semuanya seolah-olah mimpi kerana saya memberanikan diri menjalankan perniagaan ketika belajar di tingkatan dua.

“Pelbagai strategi saya jalankan supaya produk yang saya jual itu dibeli pelanggan. Syukur, pengalaman itu rupanya mematangkan saya. Saya tahu, untuk mempunyai perniagaan sendiri, kita perlu buang perkataan putus asa daripada hidup. Yang mesti ada ialah gigih, berusaha, rajin mencari ilmu dan berdoa kepada Allah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 April 2018 @ 2:16 PM