RUZITA memberi taklimat.
RUZITA memberi taklimat.
RUZITA ketika dijemput untuk menunjukkan langkah membuat sabun.
RUZITA ketika dijemput untuk menunjukkan langkah membuat sabun.
ANTARA barangan disediakan Ruzita kepada anak didiknya.
ANTARA barangan disediakan Ruzita kepada anak didiknya.
RUZITA (kiri) wanita berjiwa kental.
RUZITA (kiri) wanita berjiwa kental.
RUZITA (duduk kiri) bersama anak didik di kelas pemasarannya.
RUZITA (duduk kiri) bersama anak didik di kelas pemasarannya.
Siti Nadirah Hafidzin

Pengalaman bekerja hampir 24 jam sehari demi mencari sesuap nasi membesarkan anak menjadi pemangkin semangat wanita berjiwa kental ini untuk terus berjaya dengan cemerlang dalam bidang diceburinya.

Ketika itu, waktu siang dia bertugas sebagai pemandu van sekolah dan pada masa sama menjual pelbagai produk secara dalam talian, menjadi dropship pelbagai jenama, mengurut termasuk urutan selepas bersalin manakala malam pula menjadi tukang masak di sebuah hotel.

Walaupun hakikatnya amat perit dan susah, dia tetap teguh berdiri untuk membuktikan rezeki tidak akan datang dengan sendirinya tanpa usaha dan pengorbanan.

Wanita berasal dari Gemas, Negeri Sembilan yang kini menetap di Puchong, Selangor ini mampu tersenyum puas kerana hasil usaha serta pengorbanannya sedikit sebanyak membuahkan hasil apabila dia kini berjaya dalam bidang pilihannya sebagai pengusaha pusat kecantikan.

Bagi Ruzita Jamaludin, 41, selepas mengharungi pelbagai suka duka dalam kehidupan dia kini tekad berkecimpung dalam perniagaan berasaskan kecantikan dan kesihatan.

“Saya mempunyai kemahiran mengurut diwarisi daripada arwah nenek yang juga seorang bidan kampung terkenal suatu ketika dulu. Kemahiran inilah saya gunakan sebaik mungkin untuk terus berjaya.

“Saya memilih bidang ini atas faktor ingin membantu ramai individu menjadi lebih sihat cergas serta dapat memberi manfaat kepada individu memerlukan,” katanya.

Ruzita berkata, walaupun sudah mempunyai kemahiran, dia tidak pernah berpuas hati dan terus menambah ilmu dalam bidang terbabit.

“Syukur, saya sudah memiliki sijil tahap satu, dua dan tiga yang diiktiraf bagi membolehkan melebarkan sayap perniagaan dalam bidang diceburi ini.

“Saya juga amat gembira kerana spa yang beroperasi di Bandar Bukit Puchong menerima sambutan memberangsangkan sejak penubuhannya,” ujarnya.

Naik martabat tukang urut

Selain mengusahakan spa, Ruzita turut aktif mengadakan kelas pengendalian spa dan amat membanggakan apabila pada 2016 ini dia berjaya mendidik 100 pelajar Mobile Spa Mawar Putih Satu Malaysia.

“Perkhidmatan ini untuk memberi peluang kepada pelbagai lapisan masyarakat di negara ini mempelajari pelbagai kemahiran serta rawatan yang ditawarkan untuk sesebuah spa.

“Saya juga memberi tunjuk ajar kepada ibu tunggal secara percuma mengenai kaedah membaiki kehidupan terutama untuk menjana sumber ekonomi diri dan keluarga,” katanya.

Ruzita berkata, dia juga aktif membuka kelas pemasaran dalam talian untuk membantu lebih ramai peniaga yang mahu menjana jualan perniagaan.

“Semua ini bukan saja untuk membantu namun saya lakukan bagi memastikan ilmu yang saya ada dapat dikongsi dengan lebih ramai individu. Syukur, anak didik saya sudah ramai yang berjaya dan dapat membuka spa sendiri selain pelbagai pencapaian membanggakan yang lain,” ujarnya.

Katanya, dia turut membantu dengan mengadakan kelas secara peribadi mengenai penggunaan media sosial untuk memasarkan sesuatu jenama.

“Saya gembira apabila ramai anak tempatan terutama generasi muda yang maju dalam bidang perniagaan tidak kira dalam apa juga cabang perniagaan. Saya lakukan semua ini hanya dengan tujuan membantu serta meluaskan ilmu dan kemahiran yang saya ada,” katanya.

Untuk berjaya pastinya ia bukan sesuatu yang mudah kerana ia memerlukan kekuatan daripada semua aspek bagi memastikan perjuangan dilakukan tidak terhenti separuh jalan.

Begitu juga dengan Ruzita yang tidak lari dengan dugaan yang perlu ditempuhnya untuk dia berjaya hingga ke tahap ini.

“Pelbagai dugaan pernah saya lalui hingga pernah jatuh sakit dek hasad dengki namun tetap kuatkan hati serta fokus dengan niat saya.

“Saya juga perlu kuat untuk mengubah persepsi masyarakat terhadap tukang urut dan mahu berusaha menaikkan martabat tukang urut di negara ini,” katanya.

Ruzita berkata, harapannya dalam bidang diceburi adalah untuk melihat lebih ramai generasi pelapis yang menceburkan diri dalam bidang spa.

“Selain menjana pendapatan, bidang ini dapat membantu ramai individu terutama untuk kekal cantik dan sihat menggunakan teknik rawatan yang betul.

“Saya juga dalam perancangan membuka sebuah pusat kemahiran kecantikan dan ingin terus berkongsi segala ilmu serta kemahiran yang ada,” ujarnya sambil menambah, pada masa sama dia berhasrat membuka cawangan kedua spa miliknya di Melaka suatu hari nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Disember 2016 @ 12:06 PM