ANTARA program menarik dijalankan.
ANTARA program menarik dijalankan.

Hospital Columbia Asia menganjurkan acara untuk kanak-kanak diabetes yang memberi peluang pesakit kecil itu menceritakan aktiviti harian mereka dengan cara me­nyeronokkan.

Acara yang dinamakan Berkongsi Kisah Terpendam bertema ‘Hidup Saya Sebagai Kanak-Kanak Diabetes’ adalah inisiatif hospital itu yang melang­kaui bidang penjagaan pesakit bagi meraikan kanak-kanak diabetes.

Acara itu juga adalah penutup bagi siri acara yang dianjurkan sempena Bulan Kesedaran Diabetes Sedunia dengan kerjasama Diabetes Malaysia.

Kanak-kanak di bawah usia 16 tahun yang menghidap diabetes Jenis 1 diberi peluang melakar kisah hidup mereka melalui penulisan kreatif, dalam format karangan pendek atau puisi.

Diabetes Jenis 1 ialah suatu penyakit yang sering disalah anggap kerana ia tidak selazim diabetes Jenis 2 yang dihidapi orang dewasa. Malah tanda fizikalnya juga tidak jelas.

Kesedaran yang agak rendah mengenai diabetes jenis ini mengakibatkan ia sering disalah fahami dalam kalangan orang awam.

Kanak-kanak yang berpenyakit diabetes Jenis 1 lazimnya pendiam dan pemalu. Ini mungkin kerana rakan sebaya tidak memahami mengapa mereka perlu mengambil suntikan insulin beberapa kali sehari.

Ketua Pegawai Eksekutif Columbia Asia-Asia Tenggara Kelvin Tan berkata, komitmen Columbia Asia bukan semata-mata untuk membantu menampung rawatan penyakit.

“Kami juga ingin menyumbang lebih lagi menerusi inisiatif baru ini. Walaupun masih kanak-kanak, tetapi seperti insan lain, pesakit ini juga ingin menzahirkan apa yang mereka lalui.

“Itulah objektif kempen kami iaitu memberi peluang kepada kanak-kanak diabetes Jenis 1 untuk bercerita dan berkongsi pengalaman mereka bersama masyarakat,” katanya.

Menurutnya, cabaran dalam kisah hidup pesakit kecil itu mengajak masyarakat supaya lebih memahami diri kanak-kanak berkenaan dan apa yang dilalui setiap hari.

“Selain itu, kami percaya kempen kesedaran diabetes dan perkongsian kisah hidup kanak-kanak ini akan memberi motivasi serta menaikkan semangat kanak-kanak diabetes yang lain.

“Jika mendapatkan rawatan dan mematuhi saranan pemakanan, pesakit diabetes kecil ini boleh menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain. Namun apa yang penting adalah sokongan keluarga dan rakan untuk mereka menikmati kehidupan yang sejahtera dan berjaya,” tambahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Jun 2017 @ 4:28 AM