SEBAHAGIAN peserta menyertai acara senaman.
SEBAHAGIAN peserta menyertai acara senaman.
ANTARA peserta yang mengambil peluang memeriksa kesihatan.
ANTARA peserta yang mengambil peluang memeriksa kesihatan.
Oleh Faizatul Farlin Farush Khan

Ratusan peserta menyertai acara kesihatan Race to Goal, baru-baru ini bagi memberi pendidikan dan pendedahan mengenai penyakit diabetes kepada rakyat di negara ini.

Bertempat di Lembah Kiara, Taman Tun Dr Ismail, acara anjuran syarikat farmaseutikal Merck Sharp & Dohme (MSD) bersama Persatuan Diabetes Malaysia (PDM) adalah sebahagian daripada kempen Living Well with Diabetes (LWWD) bagi membantu mencegah diabetes.

Diadakan sempena Hari Diabetes Sedunia November lalu, acara itu menggalakkan orang ramai memastikan gula dalam darah mereka tidak melebihi paras sihat.

Acara itu juga bagi meningkatkan kesedaran kepada pengurusan penyakit itu menerusi aktiviti yang menggembirakan, sihat dan berilmu.

MSD turut menyampaikan cek berjumlah RM3,000 kepada PDM sebagai usaha menggiatkan kempen kesihatan berkaitan diabetes.

Menurut Pengarah Unit Perniagaan MSD, Tee Loong Tek, acara secara tahunan sejak 2007 diadakan dalam usaha mencegah diabetes daripada terus meningkat, sekali gus membolehkan rakyat Malaysia menjalani hidup lebih sihat dan ceria.

"Kami juga mahu mengukuhkan mesej kepada pesakit diabetes bahawa penyakit ini boleh diuruskan dengan baik melalui amalan gaya hidup lebih sihat," katanya.

Kajian terbaru menunjukkan jumlah pesakit diabetes semakin membimbangkan dan turut dialami golongan muda seawal usia 18 tahun.

Statistik pada 2011 menunjukkan peningkatan pesakit diabetes sebanyak 15.2 peratus, satu jumlah yang besar berbanding 11.6 peratus pada 2006.

Kajian turut menyatakan sekiranya gaya hidup rakyat di negara ini tidak berubah, seramai empat juta orang bakal menghidap diabetes menjelang 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Disember 2014 @ 5:01 AM