KAKITANGAN Gibraltar BSN Life Berhad dan agensi bersama kanak-kanak Hope Children Centre Melaka.
KAKITANGAN Gibraltar BSN Life Berhad dan agensi bersama kanak-kanak Hope Children Centre Melaka.

Gibraltar BSN Life Berhad (Gibraltar BSN) meneruskan usahanya untuk menghulurkan bantuan kepada golongan masyarakat yang kurang bernasib baik melalui program Our Chidren, Our Future (OCOF) di Pusat Kanak-Kanak Hope di Bukit Baru, Melaka baru-baru ini untuk menceriakan kanak-kanak di situ.

Sebagai sebuah pertubuhan bukan bersifat keuntungan, Pusat Kanak-Kanak Hope ditubuhkan bertujuan menjaga dan memenuhi keperluan anak yatim dan kanak-kanak terabai.

Kanak-kanak rumah kebajikan itu begitu teruja dan mengalu-alukan kedatangan kakitangan Gibraltar BSN ke rumah mereka.

Acara pada hari itu bermula dengan gotong-royong membersihkan rumah oleh kakitangan Gibraltar BSN, termasuk aktiviti mengecat dinding, penyusunan semula ruang dapur dan membaiki pintu serta tingkap yang pecah.

Sesetengah daripada kanak-kanak terbabit turut membantu sambil beramah mesra dengan sukarelawan Gibraltar BSN. Kakita­ngan daripada agensi Gibraltar BSN yang diiktiraf iaitu Born Rich Agency dan Vision Liew Agency, turut hadir untuk menghulurkan bantuan mereka dan menyokong program OCOF ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Gibraltar BSN Vincent Kwo berkata, menerusi program OCOF ini, Gibraltar BSN berbesar hati kerana dapat menghulurkan bantuan kepada rumah kebajikan yang terpilih dari seluruh negara dan membantu meningkatkan persekitaran kanak-kanak ini.

“Kami teruja melihat kakitangan, ejen dan rakan niaga kami turut meluangkan masa untuk memberi sumbangan secara sukarela. Program ini komitmen syarikat kami untuk membawa perubahan positif kepada masyarakat dan komuniti tempat kami beroperasi,” katanya.

Selepas sesi gotong-royong di Pusat Kanak-Kanak Hope, sajian makanan tengah hari yang lazat turut disediakan untuk anak yatim, sukarelawan serta semua tetamu yang turut hadir.

Kanak-kanak yang kelihatan masih bertenaga kemudian meluangkan masa berkualiti bersama dengan kakitangan Gibraltar BSN, Born Rich Agency dan Vision Liew Agency.

Pengurus Born Rich Agency N Aghilan berkata, sebagai warga masyarakat yang bertanggungjawab, pihaknya menyedari kepentingan menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan.

“Kami menyokong sepenuhnya program OCOF Gibraltar BSN dan berkongsi objektif serta wawasan mereka. Kami harap inisiatif seperti ini akan membawa perubahan dan dapat membantu dalam mencorakkan masa depan yang lebih cerah bagi kanak-kanak ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 September 2015 @ 5:00 AM