KANAK-KANAK belajar mengenai makanan sihat dengan cara menyeronokkan.
KANAK-KANAK belajar mengenai makanan sihat dengan cara menyeronokkan.
BARISAN tukang masak World Chefs Without Borders menunjukkan tujuh warna makanan makanan sihat kepada peserta cef cilik.
BARISAN tukang masak World Chefs Without Borders menunjukkan tujuh warna makanan makanan sihat kepada peserta cef cilik.
Oleh Siti Zarinah Sahib


Bertempat di kampus tepi tasik Universiti Taylor’s, 200 peserta cilik kelihatan cukup teruja apabila berpeluang memakai apron dan topi cef sambil bersedia menerima tunjuk ajar daripada cef profesional yang ingin berkongsi ilmu mengenai pemakanan berkhasiat.

Bertemakan Kanak-Kanak Sihat Masa Depan Cerah, Hari Cef Antarabangsa yang disambut di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur ini mengetengahkan kepentingan pemakanan sihat berunsur pendidikan dengan cara menyeronokkan. Kanak-kanak berusia enam hingga 12 tahun dari rumah anak yatim, tadika dan sekolah rendah dijemput bagi meraikan acara anjuran syarikat pemakanan, kesihatan dan kesejahteraan NestlÈ Malaysia.

Suasana ceria dimeriahkan dengan kehadiran cef selebriti Amy Beh yang mengendalikan sesi membuat kek bersama cef cilik, Cef Leah, 6.

Cef Leah membuat kek untuk mengumpul dana bagi perubatan adiknya yang menghidap penyakit mikrosefali, sejenis penyakit neurologi yang jarang dialami.

Menurut Pengurus Perniagaan Makanan, NestlÈ Profesional Choo Siew Ling, sebagai syarikat pemakanan, kesihatan dan kesejahteraan terkenal di dunia, Nestle percaya kanak-kanak mesti dididik mengenai amalan pemakanan sewajarnya sejak usia muda.

Langkah meraikan Hari Cef Antarabangsa bersama kanak-kanak adalah cara terbaik mendedahkan mereka mengenai kepentingan mengamalkan gaya hidup sihat dan memupuk nilai pemakanan berkhasiat dengan cara menarik dan menyeronokkan.

Acara bermula dengan sesi perkongsian oleh Ahli Jawatankuasa World Chefs Without Borders terdiri daripada Cef KK Yau dan Cef Eksekutif bagi Dorsett Regency Kuala Lumpur, yang menyentuh mengenai kehidupan harian seorang cef.

Kanak-kanak yang hadir jelas kagum dengan apa disampaikan. Mereka turut mengajukan pelbagai soalan, daripada maklumat mengenai pakaian seragam cef sehingga kerjaya dalam bidang kulinari.

Ilmu yang baru dipelajari ini juga dimanfaatkan melalui aktiviti praktikal apabila kanak-kanak dibahagikan kepada beberapa kumpulan dengan setiap kumpulan dibantu cef, untuk memasak dan menghiasi mufin pisang. Perbualan dan gelak ketawa yang kedengaran sepanjang sesi itu jelas menunjukkan mereka teruja dengan aktiviti yang dijalankan.

Pengarah Program, Sarjana Muda Sains (Kulinologi), Universiti Taylor’s Dr Chong Li Choo, turut hadir bagi berkongsi pandangan mengenai pemakanan sihat dan memberikan petua yang boleh diamalkan kanak-kanak dalam kehidupan harian mereka.

Dia memperkenalkan ‘My Plate’ (Pingganku) untuk menggambarkan lima kumpulan makanan yang membentuk blok binaan asas diet sihat, termasuk buah-buahan, sayur-sayuran, serat, protein dan produk tenusu. Semasa sesi ini, kanak-kanak diajar untuk memikirkan mengenai apa yang diletakkan di atas pinggan mereka sebelum makan.

Ini diikuti sesi ‘7 Warna Makanan Sihat’ yang dikendalikan oleh Pengerusi World Chefs Without Borders, Chef Wilment Leong. Menggunakan cara kreatif dan interaktif, kanak-kanak diajar cara mengenal pasti makanan sihat dengan memadankan setiap bahagian warna pada ‘roda makanan’.

Menurut Cef KK Yau, menerusi aktiviti ini kanak-kanak belajar bahawa mereka boleh menikmati makanan sihat yang lazat.

“Saya percaya tanggungjawab kita sebagai dewasa adalah untuk memperkasakan generasi akan datang sebaik mungkin. Ramai kanak-kanak yang hadir pada hari ini tidak pernah bertemu dengan cef sebelum ini, dan mereka amat berminat untuk mengetahui apa yang kami lakukan sebenarnya.

“Di seluruh dunia, lebih 10 juta cef terbabit dalam aktiviti kebajikan pada Hari Cef Antarabangsa, yang secara langsung memberi pendedahan kepada profesion ini, di samping meninggalkan kesan positif kepada masyarakat setempat. Semua cef seronok berinteraksi dengan peserta cilik yang hadir,” katanya.

Pada penghujung acara, kanak-kanak menjamu selera dengan sajian bufet lazat sambil berpeluang berinteraksi dengan cef yang lain. Sambutan Hari Cef Antarabangsa diadakan sebagai sebahagian daripada Program Kanak-Kanak Sihat NestlÈ (NestlÈ Healthy Kids, NHK), yang adalah satu inisiatif global untuk meningkatkan kesedaran mengenai pemakanan, kesihatan dan kesejahteraan, serta menggalakkan aktiviti fizikal dalam kalangan kanak-kanak dalam lingkungan usia persekolahan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 November 2015 @ 10:51 AM