PEGAWAI Pengurus SPR DUN Seri Setia, Datuk Mohd Azizi Mohd Zain, mengumumkan calon Pakatan Harapan bagi Pilihanraya Kecil (PRK) N.32 DUN Seri Setia, Halimey Abu Bakar,  dan calon PAS, Dr Halimah Ali, ketika hari Penamaan Calon di Dewan Sivik, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ). FOTO Mohd Shahril Badri Saali
PEGAWAI Pengurus SPR DUN Seri Setia, Datuk Mohd Azizi Mohd Zain, mengumumkan calon Pakatan Harapan bagi Pilihanraya Kecil (PRK) N.32 DUN Seri Setia, Halimey Abu Bakar, dan calon PAS, Dr Halimah Ali, ketika hari Penamaan Calon di Dewan Sivik, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ). FOTO Mohd Shahril Badri Saali
Mohd Anwar Patho Rohman


PARTI yang tidak bertanding dalam pilihan raya, tidak dibenarkan menggunakan logo atau lambang parti itu ketika berkempen untuk parti lain yang bukan berada di bawah satu gabungan atau pakatan.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Mohamed Elias Abu Bakar berkata, hanya parti berada dalam sesuatu gabungan yang sama boleh menggunakan logo atau lambang parti itu ketika berkempen pilihan raya termasuk pilihan raya kecil (PRK).

"Kalau parti itu di bawah satu pakatan atau gabungan, tidak ada masalah (guna lambang dan logo parti). Seperti calon PKR bertanding, parti lain yang berada di bawah gabungan dengannya boleh guna logo atau lambang parti.

"Contohnya di PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, kalau PAS bertanding dan UMNO turun berkempen, UMNO tidak boleh guna logo dan lambang parti itu atau Barisan Nasional (BN) kerana PAS bukan komponen BN.

"Tetapi di PRK DUN Balakong, MCA yang bertanding, maka parti komponen BN seperti UMNO boleh guna logo atau lambang parti kerana mereka dalam satu gabungan, tidak menjadi kesalahan," katanya kepada NSTP, hari ini.

Dalam PRK DUN Seri Setia, UMNO mengumumkan yang parti itu akan menurunkan jenteranya bagi membantu PAS dalam kempen PRK DUN Seri Setia pada 8 September depan.

Walaupun PAS bukan komponen BN, ini kali kedua UMNO dan PAS bekerjasama dalam satu PRK bagi menewaskan calon PH selepas melakukannya pada PRK DUN Sungai Kandis, pada 4 Ogos lalu.

Mengulas lanjut, Mohamed Elias berkata, SPR akan memantau semua calon dan parti yang berkempen selama 21 hari mulai hari ini sehingga tengah malam 8 September depan mematuhi peraturan pilihan raya pada dalam PRK DUN Seri Setia dan DUN Balakong.

"Pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya (PPKPR) SPR akan memantau dan meronda dalam dua PRK ini serta mengambil tindakan terhadap parti atau calon yang didapati melakukan kesalahan mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Ogos 2018 @ 7:07 PM