AKTIVIS pro-Palestin mengibarkan bendera Palestin di sebuah kampus universiti di Mexico. FOTO AFP
AKTIVIS pro-Palestin mengibarkan bendera Palestin di sebuah kampus universiti di Mexico. FOTO AFP
Reuters

Dublin: Kerajaan Ireland akan mengumumkan pengiktirafan negara Palestin pada Rabu, satu langkah yang ditentang keras oleh Israel, kata sumber yang mengetahui perkara itu.

Beberapa negara anggota Kesatuan Eropah iaitu Ireland, Sepanyol, Slovenia dan Malta menyatakan dalam beberapa minggu kebelakangan ini bahawa mereka merancang untuk membuat pengiktirafan itu, mungkin dalam satu pengumuman yang diselaraskan.

Alasannya, penyelesaian dua negara adalah penting untuk keamanan yang berkekalan di rantau Timur Tengah.

Ia susulan angka kematian yang semakin meningkat di Gaza akibat serangan Israel untuk menumpaskan Hamas, dan ia mendapat gesaan global untuk gencatan senjata dan penyelesaian berkekalan untuk keamanan di rantau itu.

Sejak 1988, 139 daripada 193 negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengiktiraf kenegaraan Palestin.

Kerajaan Ireland berkata, pengiktirafan negara Palestin akan melengkapkan usaha damai dan menyokong penyelesaian dua negara.

Kementerian Luar Israel pada Selasa memberi amaran terhadap langkah itu dan berkata dalam satu ciapan di platform X bahawa pengiktirafan itu akan membawa kepada lebih banyak keganasan, ketidakstabilan di rantau ini dan menjejaskan sebarang prospek keamanan.

Hamas menahan kira-kira 125 tebusan yang ditawan ketika serangan rentas sempadannya pada 7 Oktober 2023, yang membunuh 1,200 orang.

Pegawai perubatan Gaza pula berkata, lebih 35,000 terbunuh ketika serangan Israel.

Kerajaan Ireland pada petang Selasa berkata, perdana menteri dan menteri luarnya akan bercakap kepada media pada pagi Rabu, tetapi tidak menyatakan topiknya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mei 2024 @ 11:42 AM