ALAT pemasa dipasang di tandas Kompleks Gua Yungang Grottoes di wilayah Shanxi dekat utara China. FOTO Agensi
ALAT pemasa dipasang di tandas Kompleks Gua Yungang Grottoes di wilayah Shanxi dekat utara China. FOTO Agensi
Agensi

Beijing: Sebuah tempat tarikan pelancong utama di China mendapat kecaman kerana memasang alat pemasa pada pintu tandas wanita dalam usaha mengurangkan tempoh beratur di tandas.

South China Morning Post (SCMP) melaporkan, tular video menunjukkan pemasa dipasang di tandas wanita Kompleks Gua Yungang Grottoes di wilayah Shanxi dekat utara China yang ada sejak lebih 1,600 tahun dahulu.

Ia mempunyai 45 gua utama dan lebih daripada 59,000 arca batu dalam gaya Asia Tengah dan Barat serta Eropah.

Video menunjukkan bahawa setiap pintu di dalam tandas dipasang dengan pemasa.

Pada waktu sibuk, pemasa bertukar merah dan memulakan kiraan manakala ketika tandas kosong, ia bertukar hijau.

Seorang kakitangan di gua itu berkata bahawa peningkatan bilangan pelawat ditambah dengan tandas yang tidak mencukupi menyebabkan orang ramai beratur panjang justeru pemasa dipasang untuk menangani masalah itu.

Pemasa tidak mengenakan had masa tetapi hanya menunjukkan sama ada tandas itu ada orang di dalamnya.

Tindakan itu mencetuskan perdebatan hangat di media sosial China.

"Pada mulanya, saya fikir pemasa sudah maju kerana ia boleh menghalang orang ramai daripada memonopoli sumber awam dan menghabiskan terlalu banyak masa di tandas bermain telefon atau membuat panggilan.

"Tapi saya berasa sedikit malu, seperti diperhatikan," kata pelancong kepada Xiaoxiang Morning Herald.

"Saya rasa ia (pemasa) bagus. Sesetengah orang tua mungkin pengsan di tandas dan tidak boleh meminta bantuan.

"Pemasa juga boleh menunjukkan situasi luar biasa," kata seorang penyokong pemasa.

"Menggunakan tandas adalah perkara yang sangat peribadi. Pemasa itu membuatkan saya berasa tidak dihormati sebagai pelancong wanita," kata seorang pengkritik tindakan itu.

Kemudahan tandas di tempat pelancongan di China sering mencetuskan perdebatan di media sosial China.

Ketika melancong di barat laut negara itu, pelancong sering terpaksa menggunakan tandas kering yang tidak mempunyai kemudahan pembersihan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2024 @ 11:22 AM