REHANA Khawaja secara rasmi mendaftarkan Marylebone sebagai nama tengahnya. FOTO Chiltern Railways
REHANA Khawaja secara rasmi mendaftarkan Marylebone sebagai nama tengahnya. FOTO Chiltern Railways
Agensi

London: Pelik tapi benar. Seorang wanita di United Kingdom (UK), baru-baru ini, secara rasmi membuat keputusan mengabadikan nama stesen kereta api pada nama tengahnya.

Metro UK melaporkan, perancangan asal Rehana Khawaja adalah menggunakan Marylebone di pangkal nama, jika anaknya tidak membantah.

Kakitangan Chiltern Railways itu memulakan kerjaya di pejabat tiket dan menjalankan pelbagai peranan di syarikat itu termasuk menjadi penghantar, penyelia stesen dan pengurus stesen.

Dia yang 20 tahun bekerja di syarikat itu kini bertugas sebagai pengurus perlindungan dan keselamatan.

Sempena ulang tahun ke-125 Stesen Marylebone, Rehana membuat keputusan mendaftarkan Marylebone sebagai nama tengahnya.

Ia menjadikan namanya kini Rehana Marylebone Khawaja.

"Stesen (kereta api) itu tidak besar tetapi ia mempunyai jiwa. Semakin saya menerokainya sepanjang masa di sini, semakin saya jatuh cinta dengannya.

"Ia terasa seperti rumah yang jauh kepada saya. Kami tahu kadang-kadang berlaku masalah dan berlaku kelewatan (perkhidmatan kereta api).

"Bagaimanapun, semua orang di sana bekerja keras dengan senyuman. Ia mempunyai sentuhan peribadi dan mesra," katanya kepada Metro UK. -Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 April 2024 @ 7:01 AM