ROHAIZA mengisi petrol ke dalam botol untuk dijual kepada penduduk di sekitar Taman Cempaka, Batu Kawan berikutan ketiadaan stesen minyak di kawasan berkenaan. FOTO Nur Izzati Mohamad.
ROHAIZA mengisi petrol ke dalam botol untuk dijual kepada penduduk di sekitar Taman Cempaka, Batu Kawan berikutan ketiadaan stesen minyak di kawasan berkenaan. FOTO Nur Izzati Mohamad.
Nur Izzati Mohamad


STESEN minyak terletak terlalu jauh dan kadang-kala penduduk sekitar Bandar Cassia, Batu Kawan, terpaksa menolak motosikal kerana kehabisan petrol.

Masalah itu mendorong seorang peniaga di Taman Mutiara Cempaka, mengambil inisiatif membantu memudahkan urusan penduduk di kawasannya dengan menjual bahan api berkenaan dari rumah.

Rohaiza Mohd Roslan, 45, yang mengusahakan perniagaan nasi lemak terdetik mahu membantu penduduk dengan menjual petrol di rumah ketika waktu kecemasan sejak setahun lalu.

Katanya, inisiatif itu diambil beberapa individu sebelum ini dan dia mengikutinya kerana penjualan petrol dari rumah itu dalam kadar terhad, namun permintaan pula tinggi.

“Penduduk mengambil inisiatif kerana ketiadaan stesen minyak di kawasan ini apatah lagi stesen minyak paling dekat terletak antara lima ke 10 kilometer.

“Ia begitu menyukarkan penduduk terutamaya ketika kehabisan petrol, jadi saya mengambil keputusan untuk menjual bahan api itu,” katanya ketika ditemui, semalam.

Rohaiza berkata, setiap hari dia akan ke stesen minyak dan membeli kira-kira 45 liter petrol untuk dijual di rumahnya.

“Saya cuma jual secara kecil-kecilan kerana niat hanya ingin membantu penduduk di sekitar kawasan perumahan ini ketika kecemasan.

“Ini kerana, saya kasihan melihat mereka yang kadang-kala terpaksa menolak motosikal kerana kehabisan petrol dan stesen minyak pula terlalu jauh,”’katanya.

Beliau berkata, selain motosikal, pemilik kereta turut membeli petrol dijualnya sebelum mereka dapat ke stesen minyak.

Menurutnya, penduduk sekitar kawasan itu sudah lama meminta supaya stesen minyak diwujudkan, tetapi sehingga kini ia masih tidak dapat dilaksanakan.

Penduduk, Mohd Kamal Awang, 53, yang menetap lebih 20 tahun di kawasan perumahan berkenaan, berkata dia terpaksa ke stesen minyak jauh dari rumahnya.

“Namun, kini saya lega apabila ada beberapa penduduk di sini mula mengambil inisiatif menjual petrol di rumah, ia memudahkan kami mendapatkan dahulu bahan api sebelum mengisi penuh di stesen minyak.

“Sudah lama kami mahukan stesen minyak apatah lagi pembangunan pula kian rancak selepas adanya Jambatan Kedua Pulau Pinang termasuk dengan pembinaan gedung beli belah yang pastinya akan menjadi tumpuan orang ramai,” katanya.

Sementara itu, Khairuniza Nordin, 41, berkata masalah itu sudah lama disuarakan, tetapi disebabkan tiada tanah sesuai untuk dibangunkan maka ia terus menyepi sehingga hari ini.

“Mujurlah ada beberapa penduduk yang menjual bahan api ini dari rumah dan ia sekurang-kurangnya dapat membantu penduduk lain.

“Namun, sampai bila keadaan seperti ini perlu berlarutan apatah lagi kawasan di sini semakin maju dengan pelbagai pembangunan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 November 2018 @ 9:16 PM