BOBI sebelum ini memegang rekod dunia untuk anjing tertua. FOTO GWR
BOBI sebelum ini memegang rekod dunia untuk anjing tertua. FOTO GWR
Agensi

London: Anjing tertua di dunia dikenali sebagai Bobi dilucutkan daripada gelaran itu susulan pertikaian mengenai umur sebenarnya, lapor BBC.

Bobi sebelum ini memegang Rekod Dunia Guinness (GWR) untuk anjing tertua.

GWR berkata, ia tidak mempunyai bukti bahawa anjing tua itu yang mati pada tahun lalu, adalah setua yang didakwa.

Organisasi itu berkata, mikrocip yang mendakwa untuk membuktikan umur Bobi bukanlah bukti yang mencukupi untuk memberikannya gelaran yang dianugerahkan kepadanya pada Februari tahun lepas.

GWR berkata, ia masih belum menentukan anjing mana yang menjadi pemegang rekod baharu.

Bobi adalah baka jenis Rafeiro do Alentejo dari Conqueiros, Portugal. Anjing baka ini biasanya hidup antara 12 dan 14 tahun. Tetapi apabila Bobi dianugerahkan anugerah itu, ia didakwa berusia 30 tahun.

Bobi mati pada Oktober tahun lalu, pada usia yang dilaporkan 31 tahun dan 165 hari.

Namun, GWR melancarkan penyiasatan terhadap bukti yang digunakan untuk membuktikan gelaran itu pada bulan lepas, berikutan keraguan ditimbulkan mengenai kebolehpercayaannya dalam membuktikan umur Bobi.

GWR berkata, pihaknya tidak mempunyai bukti konklusif yang boleh membuktikan secara pasti tarikh lahir Bobi.

"Tanpa sebarang bukti konklusif yang tersedia untuk kami sekarang, kami tidak boleh mengekalkan Bobi sebagai pemegang rekod," katanya.

Pemilik Bobi, Leonel Costa pula tidak mengulas mengenai penyingkiran rekod itu, tetapi sebelum ini berkata, syak wasangka terhadap kebenaran umur anjing itu adalah tidak berasas.

Bulan lalu, Danny Chambers dari Royal College of Veterinary Surgeons memberitahu bahawa tidak seorangpun daripada rakan sekerja doktor haiwannya percaya bahawa anjing itu sebenarnya hidup hingga 31 tahun.

Anjing tertua sebelum ini adalah Bluey dari Australia, yang mati pada 1939, pada usia 29 tahun dan lima bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Februari 2024 @ 10:54 AM