MARIA Branyas Morera. FOTO Agensi
MARIA Branyas Morera. FOTO Agensi
AFP

Barcelona: Wanita Sepanyol yang dilahirkan di Amerika Syarikat (AS) berkemungkinan dinobatkan menjadi orang tertua di dunia pada usia 115 tahun, kata seorang perunding Rekod Dunia Guinness (GWR) pada Rabu.

Nenek berkenaan, Maria Branyas Morera, dipercayai menyandang gelaran itu berikutan kematian biarawati Perancis, Lucile Randon pada usia 118 tahun, kata perunding kanan untuk gerontologi Robert D Young.

GWR masih perlu membuat keputusan rasmi selepas menjalankan pemeriksaan dokumen dan menemu bual keluarga Branyas Morera, tambah Young, yang juga Pengarah Pangkalan Data Penyelidikan Supercentenarian (individu yang jauh lebih tua daripada usia 100 tahun, biasanya seseorang yang sudah mencapai umur 110 tahun) Kumpulan Penyelidikan Gerontologi.

"Kami tahu apa yang mungkin berlaku, tetapi ia tidak disahkan buat masa ini," tulisnya dalam e-mel yang dihantar kepada AFP.

Branyas Morera, yang pernah menghadapi pandemik Selesema 1918, dua perang dunia dan perang saudara Sepanyol, tidak hadir untuk temu duga.

Rumah jagaan Santa Maria del Tura di bandar Olot di timur laut Sepanyol, tempat tinggal Branyas Morera, sejak dua dekad lalu berkata, ia akan mengadakan perayaan kecil secara tertutup pada hari mendatang sebagai tanda acara yang sangat istimewa itu.

Anak perempuan bongsu Branyas Morera, Rosa Moret, 78, mengaitkan umur panjang ibunya dengan genetik.

"Dia tidak pernah pergi ke hospital, dia tidak pernah patah tulang, dia baik-baik saja, dia tidak mengalami kesakitan," kata Moret kepada televisyen wilayah Catalan, pada Rabu.

Branyas Morera dilahirkan di San Francisco pada 4 Mac 1907 sejurus selepas keluarganya berpindah ke AS dari Mexico.

Seluruh keluarganya memutuskan untuk kembali ke negara asal di Sepanyol pada tahun 1915 ketika Perang Dunia I.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 January 2023 @ 11:39 AM