AFP

London: Raja Charles III disahkan menghidap kanser dan memulakan rawatan, kata Istana Buckingham pada Isnin, mencetuskan sokongan dari seluruh dunia.

Charles, yang menjadi raja selepas kematian ibunya yang berusia 96 tahun, Ratu Elizabeth II, pada 8 September 2022, secara amnya menikmati kesihatan yang baik, tanpa kecederaan akibat polo dan bermain ski.

Tetapi pihak istana berkata, semasa prosedur hospitalnya baru-baru ini kerana pembesaran prostat, "isu kebimbangan yang berasingan diperhatikan."

"Ujian diagnostik seterusnya mengenal pasti satu bentuk kanser," kata istana dalam satu kenyataan, sambil menambah bahawa beliau sudah memulakan rawatan, tetapi tanpa menghuraikan jenis kanser yang ditemukan atau sejauh mana tahapnya.

Istana berkata, raja "kekal sepenuhnya positif" dan "tidak sabar untuk kembali ke tugas awam sepenuhnya secepat mungkin."

Beliau dinasihatkan oleh doktor untuk menangguhkan tugas awam walaupun akan terus "menjalankan urusan kerajaan dan kertas kerja rasmi seperti biasa", tambah istana.

Pengumuman mengejutkan itu mencetuskan mesej sokongan, dengan anak lelaki Charles yang terasing, Putera Harry berkata, beliau sudah bercakap dengan bapanya dan akan melawatnya tidak lama lagi.

RAJA Charles III. FOTO fail AFP
RAJA Charles III. FOTO fail AFP

Harry, anak bongsu daripada dua anak lelaki Charles dengan mendiang Puteri Diana, yang kini tinggal di California bersama isterinya Meghan, berkata, beliau akan pergi menemui raja di UK dalam beberapa hari akan datang, kata sumber yang rapat dengan Harry.

Charles mendapat pujian bulan lalu kerana bersikap terbuka tentang keadaan prostatnya, dengan doktor mengatakan lebih ramai orang awam tampil dengan gejala serupa.

Beliau dibenarkan keluar dari hospital London selepas tiga malam menginap untuk pembedahan, seminggu yang lalu.

Istana menambah bahawa raja memilih untuk berkongsi diagnosis kansernya "untuk mengelakkan spekulasi dan dengan harapan ia dapat membantu pemahaman orang ramai untuk semua orang di seluruh dunia yang terjejas oleh kanser."

Mesej yang mendoakan Charles cepat sembuh, bertubi-tubi, berikutan pengumuman mengejutkan itu.

"Semoga baginda mendapat kesembuhan yang sempurna dan cepat. Saya tidak ragu-ragu baginda akan kembali bertenaga penuh dalam masa yang singkat dan saya tahu seluruh negara akan mendoakan kesejahteraannya," tulis Perdana Menteri Rishi Sunak di X.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Februari 2024 @ 7:58 AM