CHARLES dan Camilla ketika tiba di Istana Buckingham. FOTO AFP
CHARLES dan Camilla ketika tiba di Istana Buckingham. FOTO AFP

AFP

London: Raja Charles III berikrar untuk mencontohi bondanya, berkhidmat sepanjang hayat pada ucapan sulungnya kepada Britain dan Komanwel pada Jumaat, selepas menaiki takhta susulan kemangkatan Ratu Elizabeth II.

Bercakap buat kali pertama sebagai raja dari Istana Buckingham, lelaki berusia 73 tahun itu mengucapkan terima kasih kepada 'bonda kesayangannya' atas 'cinta dan pengabdiannya kepada keluarga mereka dan keluarga negara'.

"Seperti yang dilakukan oleh ratu sendiri dengan pengabdian yang tidak berbelah bahagi, saya juga kini dengan sungguh-sungguh berjanji pada diri saya sendiri, sepanjang masa yang tinggal untuk menegakkan prinsip perlembagaan negara kita, kata Charles yang memakai sut hitam dan tali leher dalam ucapan yang penuh emosi.

Ketika Charles memberikan ucapan, orang kenamaan yang menghadiri upacara mengenang mendiang ratu di Katedral St Paul yang diperdengarkan nyanyian rasmi pertama lagu kebangsaan yang terkini, 'God Save the King'.

Terdahulu, pewaris tertua yang menaiki takhta itu menerima bunga, sorakan serta ciuman ketika menerima ucapan selamat di luar Istana Buckingham sekembalinya dari Scotland, yang mana bondanya meninggal dunia pada usia 96 tahun pada Khamis.

Charles, yang mengadakan pertemuan pertamanya dengan Perdana Menteri Britain Liz Truss sebagai raja - akan ditabalkan secara rasmi sebagai raja kepada orang ramai pada 11 pagi, Sabtu.

Dalam ucapannya, Charles berkata, anak sulungnya William akan menjadi Putera Wales yang baharu.

Isteri William Kate juga akan menyandang gelaran Puteri Wales yang pernah disandang oleh ibunya Puteri Diana, yang meninggal dunia pada 1997.

Charles turut menyatakan meluahkan rasa kasih dan cintanya kepada anak lelakinya, Harry dan isteri Harry, Meghan, yang melemparkan kritikan buruk terhadap keluarga diraja ketika pasangan itu berpisah untuk memulakan kehidupan baru di Amerika Syarikat (AS).

Raja baharu dan ahli keluarga diraja yang lain akan menjalani tempoh berkabung yang panjang dari Jumaat hingga tujuh hari selepas pengebumiannya.

Tarikh pengebumian yang akan dihadiri ketua negara dan kerajaan masih belum diumumkan secara rasmi tetapi dijangka pada Isnin, 19 September.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 September 2022 @ 9:32 AM