FOTO HIASAN. FOTO AFP
FOTO HIASAN. FOTO AFP
AFP

Madrid: Sepanyol menawarkan cuti sakit bergaji kepada wanita yang mengalami senggugut akibat haid.

Undang-undang baharu itu dibahaskan ahli parlimen, semalam, sekali gus menjadikan Sepanyol negara Eropah pertama menawarkan cuti khas itu.

Kerajaan sayap kiri Sepanyol pada Mei melaksanakan rang undang-undang yang memberi wanita senggugut akibat haid dengan cuti bergaji tanpa had, dengan syarat mendapat pengesahan doktor.

Menteri Kesaksamaan, Irene Montero berkata, dengan undang-undang itu, wanita tidak perlu bekerja dalam keadaan sakit atau mengambil pil penahan sakit sebelum ke tempat kerja.

Bagaimanapun, 'cuti haid' itu dikritik Kesatuan Sekerja Sepanyol kerana majikan boleh mengutamakan lelaki dalam pengambilan kerja bagi mengelak kerugian apabila menggajikan pekerja wanita.

Namun, di sesetengah negara terutama Asia sudah lama melaksanakan cuti berkenaan.

Misalnya, Indonesia meluluskan undang-undang pada 2003 yang memberi wanita hak dua hari 'cuti haid' berbayar setiap bulan, tanpa memberi notis awal.

Namun, ia tertakluk kepada budi bicara majikan hingga ramai majikan hanya membenarkan cuti itu sehari sebulan, manakala sebahagiannya tidak memberikan 'cuti haid' itu langsung.

Di Jepun, undang-undang yang diperkenalkan sejak 1947 memperuntukkan syarikat mesti bersetuju memberi wanita 'cuti haid' jika mereka memintanya, selagi mereka memerlukannya.

Bagaimanapun, ia tidak memerlukan mereka membayar wanita semasa 'cuti haid', namun kira-kira 30 peratus syarikat Jepun menawarkan gaji penuh atau sebahagian, menurut tinjauan Kementerian Buruh 2020.

Selain itu, tinjauan ke atas kira-kira 6,000 syarikat mendapati hanya 0.9 peratus pekerja wanita layak mengambil 'cuti haid' berkenaan.

Di Korea Selatan pula, wanita berhak mendapat sehari 'cuti haid' tanpa gaji setiap bulan.

Majikan yang ingkar berdepan denda sehingga AS$3,844 (RM17,005.86).

Sementara itu di Taiwan, Akta Kesaksamaan Gender dalam Pekerjaan memberi wanita tiga hari 'cuti haid' setahun yang tidak ditolak daripada 30 hari cuti sakit biasa yang ditetapkan.

Wanita hanya boleh mengambil sehari dalam mana-mana bulan tertentu.

Sama seperti cuti sakit, pekerja yang 'bercuti haid' hanya menerima 50 peratus daripada gaji mereka.

Zambia pula meluluskan undang-undang pada 2015 membenarkan wanita mengambil cuti kerja sehari semasa haid, tanpa memberi notis atau menunjukkan surat doktor.

Selain itu, sesetengah syarikat di dunia sudah mula menawarkan cuti itu mengikut keperluan pekerja wanita, bukan tertakluk kepada peruntukan undang-undang.

Ini termasuk dana pencen, Australia Future Super; syarikat penghantaran makanan India, Zomato dan syarikat perabot Perancis, Louis yang masing-masing memberi enam, 10 dan 12 hari 'cuti haid'.

Syarikat astrologi yang berpangkalan di Los Angeles, Chani juga menawarkan cuti haid tanpa had untuk wanita.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Disember 2022 @ 11:14 AM