Kebiasaannya apabila haid, sebahagian wanita akan mengalami simptom senggugut dan rasa tidak selesa di perut seperti kekejangan atau perut kembung, hingga memberi kesan kepada emosi.

Ada pula yang menjadi lebih berselera dan makan dengan banyak ataupun mudah pitam akibat kehilangan darah kadangkala dalam jumlah banyak berbanding kebiasaan.

Dalam menangani perkara itu, amalan pemakanan seimbang dan sihat sememangnya penting dan perlu diam alkan, selain lebih dititikberatkan setiap kali berada dalam keadaan haid.

Berikut antara makanan berkhasiat dan memberikan tenaga selain membantu menenangkan simptom senggugut yang dialami.

Ikan salmon

Kaya dengan asid lemak omega-3, ikan ini mampu mengurangkan ketidakselesaan ketika haid dan pada masa sama, membekalkan keperluan DHA. Lemak sihat ini juga terdapat dalam buah avokado, kekacang dan minyak zaitun.

Brokoli

Sayur ini memiliki kandungan serat yang tinggi dan ia dapat mengurangkan masalah kembung perut. Ia juga kaya dengan kalsium, vitamin A,C, B6 dan E, potasium dan magnesium, yang mampu memberi kelegaan kepada tubuh.

Pisang dan biji labu

Kedua-duanya membekalkan magnesium yang mengurangkan masalah lebihan air dalam tubuh serta perubahan mood. Ini kerana ia mengandungi keupayaan untuk menyeimbangkan kadar hormon serotonin yang mampu memberi kesan kepada mood dan membantu mendapatkan tidur lebih lena.

Bijirin quino

Dipilih antara ‘makanan terbaik’, quino mempunyai kandungan vitamin B12, protein, asid amino, serat dan zat besi yang membantu menstabilkan mood antaranya rasa murung, cemas ataupun mudah marah.

Susu rendah lemak dan telur

Nutrisi seperti kalsium dan vitamin D membantu mengurangkan masalah berkaitan haid, begitu juga dengan yogurt dan jus oren. Ia meningkatkan sistem pertahanan badan selain bertindak menenangkan otot tubuh, sekali gus membantu mengurangkan rasa sakit akibat senggugut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 November 2016 @ 5:12 AM