BERTUNGKU pada bahagian pinggul, perut dan paha untuk melancarkan pengaliran darah haid.
BERTUNGKU pada bahagian pinggul, perut dan paha untuk melancarkan pengaliran darah haid.
BATU sungai dibakar kemudian dibalut dengan daun herba untuk bertungku.
BATU sungai dibakar kemudian dibalut dengan daun herba untuk bertungku.
Siti Zarinah Sahib


Setiap kali datang haid, Amira, 25, mengalami senggugut yang teruk sehingga memaksa dia mengambil ubat tahan sakit. Kesakitan ini berpanjangan sehingga hari kedua dan biasanya dia terpaksa mengambil cuti sakit. Pelbagai rawatan dicuba sama ada moden atau tradisional, namun kesakitan tetap sama.

Menurut Pengarah Urusan Spa Srisari Nurhaniza Abdullah Amri, kedatangan haid bagi wanita adalah normal namun kesakitan berpanjangan ketika datang bulan boleh menjadi tekanan dan mengganggu tugas harian. Kebiasannya senggugut akan menyebabkan rasa sakit pada pinggang ke bawah, kebas, ngilu dan kejang.

“Apa yang berlaku, senggugut menyebabkan wanita menjadi lesu, insomnia, hilang kawalan emosi, hilang selera makan, merasa tegang dan tidak selesa sepanjang masa. Senggugut biasanya dialami pada hari pertama atau kedua ketika haid,” kata Nurhaniza.

Tambahnya sejak dahulu lagi, nenek moyang mengamalkan ramuan herba, daun akar kayu dan minyak bagi membantu mengurangkan kesakitan kerana senggugut. Kaedah rawatan tradisional seperti bertungku, bertangas dan membersih bahagian intim dengan air rebusan daun dan herba juga antara kaedah yang dapat memberikan kelegaan sepanjang datang bulan.

Bertungku membantu melegakan kesakitan, kebas dan kejang di kawasan perut. Untuk yang baru lepas bersalin disarankan bertungku selepas hari ketiga dan diteruskan sehingga hari ketujuh.

“Bertungku menggunakan batu sungai adalah amalan dahulu kala yang didapati berkesan bagi melancarkan peredaran darah. Batu sungai ini dipanaskan dan dibalut dengan daun herba. Sebelum memulakan rawatan kawasan perut, pinggang sehingga hujung kaki diurut ringan sekadar memberikan kelegaan daripada rasa nyeri dan kebas.

“Kawasan bawah perut pula disapu minyak herba dan diurut ringan bagi melegakan. Selepas itu batu yang masih panas ini diletakkan pada bahagian perut, pinggul, punggung, paha dan tapak kaki. Proses ini mengambil masa selama 40 minit sehingga satu jam. Anda akan dapati rasa nyaman dan selesa selepas bertungku,” katanya.†

Selain kelegaan, bertungku juga merehatkan otot yang tegang. Ia jugat membantu melancarkan pengeluaran darah haid. Bukan hanya mengurangkan rasa sakit senggugut malah mengeluarkan angin dalam badan dan membuka pori-pori untuk menyingkirkan toksin melalui perpeluhan. Ketika bertungku tubuh rasa berpeluh dan hangat. Badan juga merasa lebih bertenaga.

Bertangas bantu keluarkan darah haid

Bertangas juga sepatutnya dilakukan wanita pada setiap bulan. Jelas Nurhaniza, bertangas ialah kaedah mengeluarkan lelehan haid, lendir atau keputihan. Ia dilakukan pada hari kelima dan keenam. Herba terpilih seperti manjakani, halba, kunyit, sirih, serapat dan serbuk rempah Srisari digunakan sebagai ramuan tradisi bertangas.

“Untuk bertangas batu sungai dipanaskan selama 30 minit dan diletakkan di atas bekas seramik. Herba dibancuh dan dibakar seketika. Kemudian herba diletakkan di atas batu sungai yang panas. Bekas tangas diletakkan di bawah kerusi dan wanita hendaklah memakai kain selubung dan bertangas selama 20 hingga 30 minit,” katanya.

Selepas kedua-dua rawatan ini dilakukan, air rebusan herba yang mengandungi daun herba, rempah dan uncang herba digunakan untuk membersih kawasan intim. Ia membantu mengurangkan bau yang kurang menyenangkan dan mengandungi garam sebagai antiseptik semula jadi yang membantu membasmi bakteria atau kulat.

“Selepas haid biasanya kawasan intim akan mengalami kegatalan dan rasa kurang selesa. Air rebusan herba ini berkesan mengatasi masalah kegatalan dan keputihan selepas haid,” katanya.

Selepas rawatan pelanggan digalakkan meminum air masak dan teh panas untuk memanaskan badan agar tidak mudah sejuk dan badan dimasuki angin ketika haid. Kesakitan kerana senggugut akan mula beransur kurang dan hilang jika kerap mengamalkan bertungku, bertangas dan membersih vagina menggunakan ramuan air rebusan herba. Wanita juga digalakkan banyak minum air suam atau air masak bagi melancarkan pengaliran haid.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan rawatan bertungku dan bertangas boleh mengunjungi Srisari Spa di Tadisma Business Park, Seksyen 13, Shah Alam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Disember 2016 @ 5:45 AM