GAMBAR hiasan. FOTO Agensi
GAMBAR hiasan. FOTO Agensi
AFP

Paris: Protes di Iran antara faktor utama peningkatan jumlah wartawan yang dipenjarakan di seluruh dunia yang kini mencecah 533 orang tahun ini, iaitu rekod tertinggi direkodkan, menurut laporan Reporters Without Borders (RSF) yang diterbitkan Rabu.

Angka itu meningkat daripada 488 pada 2021, menurut badan bukan kerajaan (NGO) yang berpangkalan di Perancis itu.

Lebih separuh ditahan di lima negara dengan China kekal sebagai 'penjara terbesar dunia wartawan' dengan 110, diikuti Myanmar (62), Iran (47), Vietnam (39) dan Belarus (31).

"Rejim diktator dan autoritarian memenuhkan penjara mereka lebih cepat dengan memenjarakan wartawan," kata Christophe Deloire, Setiausaha Agung RSF, dalam satu kenyataan.

"Rekod baharu bilangan wartawan yang ditahan ini mengesahkan keperluan mendesak untuk menentang kerajaan yang tidak bertanggungjawab ini dan untuk meluaskan solidariti kami terhadap usaha mewujudkan kebebasan kewartawanan, kemerdekaan dan pluralisme.

"Iran adalah satu-satunya negara yang tidak termasuk dalam senarai tahun lalu, kata RSF, yang menerbitkan jumlah tahunan itu sejak 1995

Katanya, Iran sudah mengurung 34 media profesional yang 'belum pernah terjadi sebelumnya' sejak protes tercetus pada September susulan kematian dalam tahanan Mahsa Amini, 22 tahun, yang ditangkap kerana melanggar kod pakaian ketat negara itu.

Bilangan wartawan wanita di penjara juga berada pada tahap tertinggi sepanjang masa di seluruh dunia, meningkat daripada 60 kepada 78 sejak 2021, sebahagian besarnya disebabkan oleh lebih ramai yang memasuki profesion ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Disember 2022 @ 3:58 PM