ELAHEH Mohmmadi (kiri) dan Niloufar Hamedi dihukum penjara kerana melaporkan kematian Masha Amini. FOTO Agensi.
ELAHEH Mohmmadi (kiri) dan Niloufar Hamedi dihukum penjara kerana melaporkan kematian Masha Amini. FOTO Agensi.
AFP

Tehran: Dua wartawan wanita Iran yang ditahan kerana melaporkan kematian Masha Amini hingga mencetuskan protes tahun lalu, dihukum penjara sehingga tujuh tahun.

Badan kehakiman negara itu dalam portal Mizan Online pada Ahad berkata, Elaheh Mohammadi dan Niloufar Hamedi didapati bersalah kerana bekerjasama dengan Amerika Syarikat (AS), berkomplot menentang keselamatan negara dan propaganda terhadap republik Islam.

Mohammadi, 36, dihukum penjara enam tahun, sementara Hamedi, 31, dipenjara tujuh tahun.

Kedua-duanya turut dikenakan tambahan penjara lima tahun kerana tuduhan berkomplot dan setahun penjara bagi propaganda.

Semua hukuman berjalan serentak, kata Mizan.

Mohammadi adalah wartawan akhbar Ham Mihan dan Hamedi adalah jurugambar bagi akhbar Shargh, sudah dalam tahanan di penjara Evin sejak Sept 2022 dengan perbicaraan kes mereka bermula Mei lalu.

Keputusan terhadap mereka keluar selepas peguam Amini, Saleh Nikbakht yang dihukum penjara setahun pada Selasa lalu.

Nikbakht dikenakan hukuman itu kerana propaganda menentang negara dan bercakap dengan media antarabangsa serta tempatan berhubung kes berkenaan.

Amini meninggal dunia dalam tahanan polis pada 16 Sept 2022 selepas ditahan polis moral di Tehran kerana melanggar peraturan pemakaian yang ketat bagi wanita.

Kematiannya mencetuskan protes besar-besaran di seluruh Iran dan global.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Oktober 2023 @ 2:43 PM