FAHMI Fadzil.
FAHMI Fadzil.
BERNAMA

Putrajaya: Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata satu pertemuan telah diadakan dengan Reporters Without Borders (RSF), bagi membincangkan antara lain penjelasan Kod Etika Kewartawanan Malaysia oleh Institut Akhbar Malaysia (MPI), kad perakuan media serta beberapa cadangan kerjasama di masa hadapan, untuk meningkatkan tahap kebebasan media di Malaysia.

Beliau berkata cadangan lain yang dibincang dengan badan bukan kerajaan tersebut, termasuk ruang kerjasama dengan media organisasi di rantau Asia Tenggara, mengambil kira Malaysia akan mempengerusikan Asean pada 2025.

"Ini adalah kali pertama RSF melakukan lawatan sebegini lama (lima hari) di Malaysia, setelah membuka pejabat bagi Asia Pasifik. Saya dimaklumkan mereka berhasrat untuk kembali dan mengadakan lebih banyak pertemuan untuk memahami konteks dan mendengar dari pelbagai pihak tentang keadaan semasa.

"Jadi kita harapkan dengan keterbukaan yang boleh kita tonjolkan, membolehkan Malaysia dan kerajaan khususnya memahami konteks dari segi amalan terbaik supaya kebebasan media dikembang," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Fahmi berkata RSF juga memaklumkan salah satu masalah besar yang melanda dunia ialah sebaran berita dan maklumat palsu.

"Jadi RSF menyatakan ada beberapa piagam atau dokumen yang boleh dipanjangkan kepada Kementerian Komunikasi untuk penelitian kami, di samping melihat kepada struktur bersifat antarabangsa bagi meningkatkan standard atau aspek kawal selia yang bersifat amalan terbaik, seperti yang dilaksanakan di negara lain," katanya.

Fahmi berkata lawatan RSF memberi peluang baik kepada kerajaan, memahami dari sudut pandang NGO seperti RSF, mengenai apa yang sedang diusahakan dan RSF melihat Malaysia sebagai salah satu negara yang paling ke hadapan dari segi kebebasan media di rantau Asia Tenggara.

"Ini peluang yang baik bagi kita untuk lihat aspek yang boleh ditambah baik dan sekiranya selama ini kita mempunyai satu badan iaitu Ikatan Setia Kawan Wartawan Malaysia-Indonesia (Iswami), yang menghubungkan media Malaysia dan Indonesia.

"Setelah mengadakan perbincangan dengan RSF, saya lihat ada peluang untuk teliti rangkaian hubungan media di peringkat ASEAN dan apa peranan yang boleh dimainkan Malaysia membantu meningkatkan mutu kewartawanan serta amalan dalam kalangan media organisasi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mac 2024 @ 7:08 PM