PASUKAN forensik menjalankan siasatan di lokasi kejadian pembunuhan Roman. FOTO Reuters
PASUKAN forensik menjalankan siasatan di lokasi kejadian pembunuhan Roman. FOTO Reuters
AFP

Mexico City: Seorang wartawan dibunuh di Chilpancingo, ibu negeri Guerrero, petang Isnin, sejurus selepas penyiaran berita mengenai kehilangan 43 pelajar di bandar itu lapan tahun lalu.

Pejabat pendakwa raya melaporkan, Fredid Roman yang menerbitkan berita di pelbagai platform media sosial dan turut menyumbang laporan itu kepada akhbar tempatan ditemukan mati di dalam keretanya.

Kes kehilangan 43 pelajar dari Guerrero pada 2014 selepas menaiki bas menuju ke satu protes di bandar itu, dianggap sebagai bencana hak asasi manusia paling teruk dalam sejarah Mexico.

Kes itu kembali menjadi tumpuan minggu lalu apabila suruhanjaya keadilan di negara itu melabelkan kekejaman terbabit sebagai jenayah negara yang membabitkan ejen pelbagai institusi.

Beberapa jam sebelum kematian Roman, wartawan itu menerbitkan hantaran Facebook bertajuk, State Crime Without Charging the Boss, yang mendedahkan pertemuan antara empat pegawai kerajaan ketika kehilangan semua pelajar itu, termasuk bekas Peguam Negara Jesus Murillo Karam.

Murillo Karam ditahan selepas penyiaran laporan suruhanjaya keadilan minggu lalu, manakala berpuluh-puluh waran tangkap dikeluarkan terhadap suspek membabitkan kes itu, termasuk anggota tentera, pegawai polis dan anggota kartel.

Bagaimanapun, masih tidak jelas sama ada pendedahan Roman mengenai kehilangan pelajar terbabit antara punca pembunuhannya itu.

Tahun ini, laporan kerajaan mendedahkan 12 wartawan dibunuh di Mexico, manakala pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Reporters Without Borders (RSF) menyenaraikan sembilan wartawan terbunuh. Beberapa media meletakkan angka itu pada 15 atau 16 wartawan.

Dengan kira-kira 150 wartawan dibunuh sejak 2000, menurut RSF, Mexico dianggap sebagai salah satu negara paling berbahaya di dunia untuk pengamal media.

Kebanyakan kes pembunuhan itu tetap tidak menerima pengadilan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Ogos 2022 @ 3:47 PM