KAWASAN bergolak di wilayah bersempadan Kharkiv dan Donetsk. FOTO EPA
KAWASAN bergolak di wilayah bersempadan Kharkiv dan Donetsk. FOTO EPA
AFP

Washington: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan bersidang petang ini bagi membantah referendum penggabungan Rusia ke atas beberapa wilayah Ukraine.

Resolusi itu digubal Amerika Syarikat (AS) dan Albania dengan kandungannya yang tepat belum diketahui umum, tidak akan mempunyai peluang diluluskan walaupun ia boleh dibentangkan kepada Perhimpunan Agung.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres mengecam penggabungan yang disifatkannya sebagai peningkatan berbahaya dan tiada tempat dalam dunia moden.

Wakil AS, Linda Thomas-Greenfield berkata, teks itu akan mengecam apa yang dilabelkan Barat sebagai referendum palsu dan memohon negara anggota tidak mengiktiraf mana-mana status Ukraine yang diubah dan mewajibkan Rusia mengundurkan tenteranya dari Ukraine.

Seorang penganalisis di International Crisis Group, Richard Gowen berkata, negara Barat yakin mendapat sokongan kuat untuk integriti wilayah Ukraine dalam Perhimpunan Agung.

Undian Perhimpunan Agung kemudiannya akan menawarkan gambaran betapa terpencilnya Rusia di peringkat antarabangsa.

Perhimpunan Agung mengundi resolusi mengenai pencerobohan Ukraine tiga kali pada musim bunga ini, dengan undian terakhir pada April menunjukkan tanda perpaduan antarabangsa berpaling terhadap Moscow.

Namun, semua mata akan tertumpu kepada maklum balas India dan China.

Ini kerana kedua-dua negara itu berkecuali daripada mengundi resolusi pada Februari lalu yang mengecam pencerobohan Moscow ke atas bekas jirannya Soviet dengan China awal minggu ini memohon integriti wilayah semua negara dihormati.

Persidangan itu dijadualkan berlangsung 3 petang hari ini turut akan membincangkan isu lain termasuk kebocoran saluran paip gas Nord Stream yang menghubungkan Eropah dan Rusia.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 September 2022 @ 2:50 PM