AKTIVIS memegang plakad di Lafayette Square memprotes perang antara Russia dan Ukraine. FOTO AFP
AKTIVIS memegang plakad di Lafayette Square memprotes perang antara Russia dan Ukraine. FOTO AFP
AFP

Amerika Syarikat: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan mengundi pada hari Jumaat mengenai draf resolusi yang mengutuk pencerobohan Russia ke atas Ukraine dan menuntut pengunduran tenteranya.

Namun, resolusi dijangka gagal diluluskan kerana kuasa veto Moscow, kata sumber diplomatik.

Resolusi itu dicadangkan Amerika Syarikat dan Albania, dibuat berdasarkan bab tujuh dalam Piagam PBB, yang membenarkan 'tindakan melalui udara, laut, atau tentera darat' untuk menguatkuasakan keamanan dan keselamatan antarabangsa.

Tetapi ia mungkin akan gagal kerana kuasa veto Russia selaku anggota tetap majlis itu, kata diplomat.

Bagaimanapun, Washington berpandangan, penggunaan kuasa veto akan menunjukkan negara itu dipinggirkan, kata seorang pegawai kanan AS yang enggan dinamakan.

Timbalan Duta Besar Russia ke PBB, Dmitry Polyanskiy mengesahkan kepada AFP pengundian akan diadakan Jumaat pada 2000 GMT.

Undian resolusi yang sama dijangka turut dilakukan dalam Perhimpunan Agung PBB (UNGA), yang mana 193 anggotanya tidak memiliki kuasa veto dan resolusi yang diputuskan tidak mengikat.

Menurut draf resolusi itu, yang dilihat oleh AFP, Majlis Keselamatan akan mengutuk 'dengan sekeras-kerasnya pencerobohan Persekutuan Rusia terhadap Ukraine yang melanggar Perkara 2, perenggan 4 Piagam PBB yang mengatakan semua negara anggota tidak boleh menyerang negara lain.

Sekiranya resolusi itu diluluskan, Russia perlu menamatkan serangan di Ukraine dengan segera, dan menarik tenteranya keluar dari Ukraine segera, sepenuhnya dan tanpa syarat. dari wilayah Ukraine dalam sempadan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

"Amerika Syarikat dan Albania selaku anggota tidak tetap majlis itu, berharap dapat mengumpulkan sebanyak mungkin undi menyokong dalam kalangan 15 negara anggota, menurut diplomat.

Pada 2014, selepas Russia

merampas wilayah Crimea daripada Ukraine, resolusi yang mengutuk Moscow memperoleh 13 undi menyokong, dengan China berkecuali manakala Russia menggunakan kuasa vetonya.

Resolusi itu kemudiannya dihantar ke Perhimpunan Agung PBB yang mana ia menerima 100 undi menyokong, 11 negara menentang, 58 secara rasmi berkecuali, manakala selebihnya ahli tidak mengambil bahagian dalam pengundian.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Februari 2022 @ 9:36 AM