SEBUAH bangunan kediaman di Kharkiv, yang rosak susulan pencerobohan Rusia di Ukraine. FOTO AFP
SEBUAH bangunan kediaman di Kharkiv, yang rosak susulan pencerobohan Rusia di Ukraine. FOTO AFP
AFP

Kyiv: Moscow mengarahkan tenteranya untuk mara dari semua arah di Ukraine pada Sabtu, ketika Kyiv mengenakan perintah berkurung selepas pertempuran di bandar yang menyaksikan tentera Rusia diberikan tentangan.

Pegawai Ukraine berkata, 198 orang awam, termasuk tiga kanak-kanak, terbunuh sejak serangan Rusia pada Khamis, dan memberi amaran serangan aktif di Kyiv ketika letupan menggegarkan ibu negara, memaksa penduduk melarikan diri ke tempat selamat di bawah tanah.

Moscow berkata, ia melepaskan peluru berpandu menyasarkan tentera, dan akan melaksanakan serangan dari semua arah selepas menuduh Ukraine menolak rundingan.

Tetapi, pada hari ketiga pencerobohan Rusia, Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky berikrar, negaranya tidak akan menyerah kepada Kremlin, manakala Washington menyifatkan pasukan penceroboh mempunyai "kekurangan momentum".

Zelensky berkata dalam mesej video bahawa mereka akan berjuang sehingga berjaya membebaskan Ukraine.

Beliau sebelum ini berkata Ukraine menggagalkan rancangan Moscow untuk menggulingkannya dan menggesa rakyat Rusia untuk menekan Presiden Vladimir Putin supaya menghentikan konflik itu.

Pentagon menganggarkan separuh daripada tentera Rusia di sempadan Ukraine kini berada di dalam negara itu.

Tetapi terdapat "kekurangan momentum dalam tempoh 24 jam yang lalu", dan tentera Rusia masih belum dapat menguasai ruang udara negara itu, kata seorang pegawai Amerika Syarikat (AS).

Presiden Rusia, Vladimir Putin pada Khamis melancarkan pencerobohan besar-besaran yang memaksa hampir 150,000 orang melarikan diri ke negara jiran.

Berpuluh-puluh ribu lagi dianggarkan kehilangan tempat tinggal di Ukraine, dengan ramai yang menuju ke barat akibat pertempuran sengit.

Di Romania, Olga, 36, adalah antara ratusan yang menyeberangi sungai Danube bersama tiga anaknya untuk selamat.

"Suami saya datang sehingga ke sempadan, sebelum kembali ke Kyiv untuk bertempur," katanya.

Beribu-ribu lagi pergi ke Poland dengan kereta api.

"Serangan berlaku di mana-mana, ibu saya masih di Kyiv," kata Diana, 37 tahun yang melarikan diri dari ibu negara Ukraine.

Di ibu negara, penduduk mencari perlindungan di stesen kereta api bawah tanah dan bilik bawah tanah.

Jurucakap bandar itu berkata sesiapa yang berada di luar selepas jam 5 petang akan dianggap sebagai anggota kumpulan sabotaj dan peninjau musuh.

Perintah berkurung akan berkuat kuasa sehingga 8 pagi pada hari Isnin.

Beribu-ribu di seluruh dunia menunjukkan solidariti mereka dengan Ukraine pada hari Sabtu.

Zelensky berkata, beliau meminta Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres untuk melucutkan undi Rusia di Majlis Keselamatan PBB sebagai hukuman atas pencerobohan itu.

Terdahulu, beliau mengucapkan terima kasih kepada "rakan kongsi" kerana menghantar senjata dan peralatan, manakala Washington mengumumkan AS$350 juta (kira-kira RM1.464 bilion) bantuan ketenteraan baharu.

Berlin berkata, ia akan menghantar 1,000 senjata antikereta kebal dan 500 peluru berpandu Stinger, dalam perubahan dasar daripada dasar lamanya untuk tidak mengeksport senjata ke zon perang.

Paris berkata, ia akan menghantar lebih banyak senjata ke Ukraine.

Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) berkata, ia akan mengerahkan 40,000 pasukan tindak balas ke timur Eropah buat kali pertama, tetapi menegaskan ia tidak akan menghantar pasukan ke Ukraine.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Februari 2022 @ 11:35 AM