BOMBA memadam kebakaran di bandar Odesa, Ukraine. FOTO Perkhidmatan Kecemasan Negara Ukraine/ REUTERS.
BOMBA memadam kebakaran di bandar Odesa, Ukraine. FOTO Perkhidmatan Kecemasan Negara Ukraine/ REUTERS.
Reuters

Moscow: Lebih 11,500 individu termasuk 1,847 kanak-kanak dipindahkan dari Ukraine ke Rusia semalam.

Kementerian Pertahanan Rusia berkata, usaha berkenaan dilakukan tanpa kerjasama pihak berkuasa Kyiv.

Jumlah berkenaan termasuk misi pemindahan dari wilayah pemisah yang disokong Rusia di Ukraine, Donetsk dan Luhansk, yang diiktiraf Rusia sebagai bebas, sejurus sebelum melancarkan pencerobohannya pada 24 Februari lalu.

Rusia berkata, orang ramai dipindahkan atas permintaan mereka sendiri.

Ukraine pula berkata, Moscow menghantar pulang secara paksa ribuan orang ke Rusia sejak permulaan perang berkenaan.

Moscow menggelar tindakannya di Ukraine sebagai 'operasi khas'.

Ukraine dan negara Barat berkata, Rusia melancarkan perang pencerobohan tanpa provokasi.

Semalam, orang awam pertama yang dipindahkan dari loji keluli gergasi di pelabuhan Mariupol yang terkepung tiba di bandar Zaporizhzhia yang dikuasai Ukraine.

Ia sebagai sebahagian daripada operasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah yang diselaraskan dengan Ukraine dan Rusia.

Sejak 24 Februari lalu, hampir 200,000 kanak-kanak dan 1.1 juta orang dipindahkan dari Ukraine ke Rusia, kata kementerian pertahanan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mei 2022 @ 10:50 AM