PAPARAN keputusan undi untuk menggantung Rusia daripada Majlis Hak Asasi Manusia PBB. FOTO AFP
PAPARAN keputusan undi untuk menggantung Rusia daripada Majlis Hak Asasi Manusia PBB. FOTO AFP
AFP

New York: Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengundi pada Khamis untuk menggantung Rusia daripada Majlis Hak Asasi Manusia PBB sebagai tindak balas terhadap pencerobohan di Ukraine.

Daripada 193 ahli dewan pertubuhan itu, 93 mengundi menyokong penggantungan selepas dicadangkan Amerika Syarikat (AS), manakala 24 menentang dan 58 berkecuali.

Ia penggantungan kedua buat sesebuah negara negara daripada majlis itu selepas tindakan serupa dikenakan terhadap Libya pada 2011.

Penggantungan itu memerlukan dua pertiga undi menyokong, manakala undi menentang dan berkecuali tidak dikira.

Negara yang menentang penggantungan Rusia daripada Majlis Hak Asasi Manusia PBB itu termasuk China, sekutu Moscow yang dengan tegas tidak mengkritik pencerobohan itu.

Selain Rusia sendiri, antara negara lain yang menentang penggantungan itu ialah Iran, Kazakhstan, Cuba, Belarus dan Syria.

Meskipun Moscow memberi tekanan untuk tidak memberikan undi, beberapa negara Afrika memilih untuk berkecuali seperti Afrika Selatan dan Senegal. Turut berkecuali ialah Brazil, Mexico dan India.

AS berhujah, hukuman menggantung Rusia daripada majlis yang berpangkalan di Geneva itu - sebagai pemantau hak asasi manusia utama PBB - lebih daripada simbolik dan ia bagi meningkatkan pengasingan terhadap Rusia selepas serangan ke atas Ukraine bermula 24 Februari lalu.

Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky juga menggesa Rusia disingkirkan daripada Majlis Keselamatan PBB supaya negara itu tidak boleh menyekat keputusan dalam majlis itu mengenai pencerobohannya.

Bagaimanapun, Washington mengakui tiada sesiapa boleh menggugat kedudukan Rusia dalam Majlis Keselamatan PBB kerana negara itu memiliki kuasa veto.

Sejak pencerobohan Rusia terhadap Ukraine Februari lalu, lebih 11 juta penduduk kehilangan tempat tinggal.

Pencerobohan itu juga turut membangkitkan kemarahan masyarakat dunia selepas baru-baru ini imej orang awam dibunuh dilihat ditinggalkan dalam kubur besar di kawasan dikawal tentera Rusia.

Pembunuhan beramai-ramai itu membawa kepada pusingan baharu sekatan antarabangsa terhadap Rusia.

Kremlin bagaimanapun menafikan tentera Rusia membunuh orang awam, dan mendakwa bahawa imej mayat itu palsu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 April 2022 @ 10:00 AM