AARON-WOOI YIK sumbang mata tunggal buat negara ketika berdepan China dalam aksi separuh akhir Piala Thomas. -FOTO AFP
AARON-WOOI YIK sumbang mata tunggal buat negara ketika berdepan China dalam aksi separuh akhir Piala Thomas. -FOTO AFP
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky menyifatkan skuad Piala Thomas sudah memberi persembahan terbaik dalam kejohanan itu termasuk memberi tekanan kepada pasukan tuan rumah China dalam aksi separuh akhir semalam.

Namun pihak lawan bijak memanfaatkan kesilapan pasukan negara dan peluang itu ternyata memberi kelebihan kepada pasukan China untuk melangkah ke final.

"Secara keseluruhan pasukan berikan satu tekanan kepada pasukan China dan kita mengharapkan juga Lee Zii Jia boleh ulangi dia punya prestasi ketika lawan Jepun tapi sebaliknya bila lawan menang mudah set kedua.

"Beregu pertama Aaron Chia-Soh Wooi Yik, permulaan set pertama nampak sedikit perlahan untuk menutup pergerakan lawan tetapi set kedua dan ketiga mereka bangkit dengan inisiatif dan dapat kesan (kelemahan) China (untuk menang).

"Goh Sze Fei-Nur Izzuddin pula, mereka bermula bagus cuma pada mata penting (set kedua), ada beberapa keputusan salah dan dia beri kesan serta peluang untuk menang dalam straight set.

"Set ketiga ada sedikit (hilang fokus) tetapi pujian harus diberikan kepada He Je Ting (beregu China) bermain begitu 'clear' dan percaya pada diri," katanya.

Selain itu, Rexy juga berpendapat pemain perseorangan lelaki kedua negara, Leong Jun Hao boleh menyertai lebih banyak kejohanan Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) agar dia boleh tingkatkan lagi keyakinan dalam dirinya.

"Bagi Jun Hao, terlalu besar untuk dia 'handle' Li Shi Feng yang sudah raih kejuaraan peringkat 1000 (Jelajah Dunia BWF Super 1000).

"Dia perlu menyertai banyak kejohanan supaya dia boleh dapatkan kepercayaan dan keyakinan diri," katanya.

Sebelum ini, Rexy sudah menjangkakan Malaysia bakal berhadapan lawan sukar di separuh akhir terutama bagi acara perseorangan lelaki sementara untuk beregu, beliau berpendapat adalah seimbang.

Terdahulu, hasrat Malaysia untuk melangkah ke final tidak kesampaian apabila tewas 1-3 kepada China semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mei 2024 @ 1:48 PM