Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Putrajaya: Karnival Jom Heboh (KJH) Edisi Raya yang berlangsung selama tiga hari di sini, menerima sambutan hangat apabila pengunjung berpusu-pusu mengunjungi hari terakhir dan tidak mahu melepaskan peluang bagi mendapatkan barangan pada harga berpatutan.

Pengunjung, Noorul Hidayah Yusof Dajivi, 38, berkata, dia hadir pada hari terakhir kerana mahu mendapatkan barangan yang ditawarkan pada harga lebih murah berbanding di pasaran.

Selain itu katanya, dia juga hadir pada hari terakhir ini adalah bagi memberi peluang kepada anaknya untuk merasai suasana KJH yang meriah dengan kehadiran orang ramai.

"Saya datang dengan suami dan anak. Saya nak anak saya merasai suasana Jom Heboh bagaimana sebab dia pun tak pernah tengok orang ramai macam ini.

PENGUNJUNG membeli produk eksklusif dari reruai NSTP pada Karnival Jom Heboh di Putrajaya. FOTO Aizuddin Saad
PENGUNJUNG membeli produk eksklusif dari reruai NSTP pada Karnival Jom Heboh di Putrajaya. FOTO Aizuddin Saad

"Seronoknya di sini ada macam-macam jualan dan harganya berpatutan selain mampu untuk kita beli," katanya ketika ditemui, di sini hari ini.

Noorul Hidayah yang tinggal di Meru, Klang berkata, sekiranya KJH ini dianjurkan lagi, dia bersama keluarganya tidak akan melepaskan peluang untuk menghadirinya.

"Akan datang saya akan datang lagi sebab menarik dan ia juga meriah. Nak merasa macam hari ini, bukan selalu.

"Tapi pada masa akan datang, saya cadangkan pihak penganjur untuk memperbanyakkan lagi reruai disebabkan kawasan di sini amat luas," katanya.

Seorang lagi pengunjung, Nur Khairil Zabidi, 28, pula menyatakan ini hari kedua dia menghadiri KJH.

Mengakui sebagai peminat nombor satu KJH, Nur Khairil berkata, penganjurannya membolehkan orang ramai memperoleh barangan yang ditawarkan pada harga yang murah, selain makanan yang ada juga sedap.

"Saya ini peminat Jom Heboh. Makanan yang ada dijual di sini pun sedap dan barangan pun banyak dijual serta murah.

"Di samping itu, kita juga boleh enjoy kerana ada artis tempatan di sini," katanya yang berasal dari Kelana Jaya.

Dia dalam masa yang sama turut mengharapkan penganjuran KJH pada masa akan datang diperbanyakkan aktiviti sukan dan pemasaran.

"Ramai juga orang tak tahu ada KJH ini, Saya kebetulan tahu sebab ada nampak mengenainya di TV3. Rakan dan keluarga saya pun tak tahu," katanya.

Dalam pada itu, Pengurus Besar Pengedaran The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP), Prakash Munusamy berkata, reruai NSTP mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pengunjung sepanjang tiga hari penganjuran KJH.

"Sejak Jumaat lalu, sambutan memang menggalakkan daripada pengunjung. Untuk hari ini, NSTP ada menjual payung automatik Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) semurah RM10," katanya.

Katanya, pada hari terakhir ini, NSTP turut menawarkan promosi tiket kanak-kanak Gamuda Splash Mania, Dengkil, Selangor berjumlah RM30.

"Sebanyak 150 tiket kita akan berikan. Harga asal tiket berjumlah RM95, tetapi hari kita tawarkan promosi hanya RM30 saja.

"Tiket ini mereka boleh guna sampai Julai tahun ini, istimewa untuk cuti sekolah nanti," katanya.

Selain itu katanya, pengunjung yang mengunjungi Dinoland di reruai NSTP turut boleh menyertai cabutan bertuah yang turut ditawarkan.

"Pengunjung boleh memenangi pakej penginapan hotel di The Everly, Putrajaya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mei 2024 @ 1:23 PM