ANTARA gajah Asia yang ditempatkan Zoo Zurich. FOTO AFP
ANTARA gajah Asia yang ditempatkan Zoo Zurich. FOTO AFP
AFP

Zurich: Virus maut melanda sebuah zoo di bandar raya ini membunuh tiga gajah Asia dalam tempoh sebulan hingga membuatkan pakar buntu untuk menghentikan penyebaran wabak itu.

Zoo yang terletak di bandar terbesar di Switzerland itu kini hanya mempunyai lima gajah di kandang gajah seluas 11,000 meter persegi.

Penghujung Jun lalu, gajah jantan berusia dua tahun dipanggil Umesh adalah mangsa pertama dijangkiti virus herpes endotheliotropik gajah (EEHV) dan beberapa hari kemudian, gajah betina dikenali sebagai Omysha berusia lapan tahun turut mati dijangkiti virus sama.

Sabtu lalu, Ruwani, gajah betina berusia lima tahun dilaporkan mati. Ketiga-tiga gajah itu mati dengan pantas akibat jangkitan virus yang berpunca akibat pendarahan dalaman dan kegagalan organ.

Kurator zoo Pascal Marty berkata, virus itu adalah penyebab utama kematian gajah antara dua dan lapan tahun kebelakangan ini.

Katanya, virus itu juga diketahui boleh membunuh gajah di habitat liar haiwan itu, namun agak sukar untuk dikesan.

"Kami masih tidak mengetahui mengapa ia berlaku dan bila ia berlaku," katanya kepada AFP.

Sementara itu, Pengarah Zoo Severin Dressen dalam kenyataannya berkata, pihaknya kecewa tidak dapat membendung penularan wabak itu.

"Kami tidak berdaya melawan virus ini, walaupun penjagaan veterinar dilakukan dengan baik melalui hospital haiwan universiti di Zurich," katanya.

Dressen berkata, setakat ini tidak ada vaksin untuk menghalang penularan wabak itu dan walaupun ada antivirus, ia tidak begitu berkesan.

Katanya, sekalipun gajah dirawat dengan cepat menggunakan antivirus, hanya kira-kira satu pertiga daripadanya bertahan.

"Epidemiologi penyakit itu masih belum jelas," kata Bhaskar Choudhury, doktor haiwan dan pakar gajah Asia dari Kesatuan Antarabangsa Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN).

Gajah Asia yang boleh hidup sehingga 60 tahun, disenaraikan IUCN sebagai spesies terancam, dengan hanya tinggal kira-kira 50,000 di habitat liar.

Penebangan hutan, pembangunan bandar dan pertanian merampas habitat semula jadi haiwan itu, manakala pemburuan haram dan perdagangan gading gajah secara haram turun mengancam populasi haiwan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Julai 2022 @ 3:02 PM