GAMBAR Orang Utan Sumatera, Puan yang diambil pada 24 Oktober 2016. Foto AFP
GAMBAR Orang Utan Sumatera, Puan yang diambil pada 24 Oktober 2016. Foto AFP
AFP

ORANG Utan Sumatera tertua dunia yang memiliki 11 anak dan 54 ekor waris seluruh dunia mati pada usia 62 tahun, semalam.

Dikenali sebagai ‘Puan’, haiwan itu disahkan mati di Zoo Perth yang dihuni sejak dihadiahkan oleh kerajaan Malaysia pada tahun 1968.

Penyelaras primat zoo berkenaan, Holly Thompson berkata, Puan amat berjasa kepada keseluruhan koloni di zoo itu dan kesinambungan kehidupan spesis haiwan berkenaan.

“Selain menjadi anggota paling tua di koloni kami, Puan juga adalah anggota pengasas program pembiakan semula dan meninggalkan legasi yang amat hebat.

“Genetik Puan menyumbang kepada hampir 10 peratus populasi zoo peringkat global,” katanya.

Puan memiliki 11 anak dan 54 waris di Amerika Syarikat, Eropah, Australiasia dan hutan di Sumatera, Indonesia. Cicit Puan, dikenali sebagai Nyaru adalah yang terkini dilepaskan untuk hidup di dalam habitat asal.

Dilahirkan pada tahun 1956, Puan diiktiraf Rekod Dunia Guiness sebagai orang utan Sumatera paling tua di dunia. Jangka hayat orang utan betina jarang melepasi 50 tahun jika hidup secara liar di hutan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Jun 2018 @ 12:39 PM