FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Reuters

Kyiv: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Selasa berkata, pihaknya akan membekalkan beribu-ribu dos ubat antiretroviral ke Ukraine bagi menyelamatkan nyawa sekali gus menampung keperluan pesakit HIV di negara itu untuk 12 bulan akan datang.

WHO, bersama-sama dengan Pelan Kecemasan Presiden Amerika Syarikat untuk Bantuan Aids (PEPFAR), pihak berkuasa Ukraine dan rakan kongsi lain, sudah memperoleh 209,000 pek ubat antiretroviral generik TLD.

Ukraine dianggarkan mempunyai 260,000 orang yang hidup dengan HIV, jumlah kedua terbesar di Eropah selepas Rusia.

Sebelum pencerobohan Moscow kira-kira separuh daripada mereka menjalani rawatan antiretroviral.

Bulan lalu, agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk HIV/AIDS memberi amaran bahawa Ukraine mempunyai bekalan ubat untuk pesakit HIV kurang daripada sebulan.

"Perang ini berpotensi melemahkan kemajuan yang diperolehi sejak beberapa tahun kebelakangan ini dalam beberapa isu kesihatan, termasuk HIV.

"Kami tidak boleh membiarkan perkara itu berlaku apabila Ukraine mempunyai ramai pesakit HIV," kata Pengarah Wilayah WHO untuk Eropah Hans Henri P Kluge.

Walaupun tiada ubat untuk HIV, ubat antiretroviral boleh mengawal virus dan mencegah penularan seksual seterusnya kepada orang lain.

Sebarang gangguan dalam rawatan boleh membawa kepada komplikasi.

Kumpulan pertama ubat HIV sudah pun melintasi sempadan Poland ke Ukraine dan akan diangkut ke kemudahan perkhidmatan HIV di seluruh negara, kata WHO.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 April 2022 @ 9:36 AM