ADAM Castillejo. FOTO AGENSI
ADAM Castillejo. FOTO AGENSI
Agensi

London: Seorang lelaki berusia 40 tahun disahkan sebagai individu kedua di dunia yang bebas daripada virus HIV.

Adam Castillejo dilaporkan bebas dari virus berkenaan selepas berhenti daripada menerima rawatan terapi antiretroviral (ART) lebih 30 bulan lalu.

BBC News melaporkan dia tidak sembuh menerusi ubat-ubatan HIV, sebaliknya selepas menjalani rawatan sel induk (stem cell) bagi penyakit kanser yang dialaminya.

Pada 2011, Timothy Brown yang dikenali sebagai Pesakit Berlin menjadi orang pertama dilaporkan sembuh daripada virus berbahaya itu selepas menjalani rawatan sama selama tiga tahun setengah.

Pemindahan sel induk ini dapat menghentikan virus di dalam badan dengan menggantikan sel dalam sistem imuniti pesakit untuk melawan jangkitan HIV.

Doktor berkata, Adam yang kini digelar Pesakit London tidak mempunyai jangkitan HIV aktif dalam darah, air mani atau tisu.

Penyelidik utama dari Universiti Cambridge Prof Ravindra Kumar Gupta berkata, ia menunjukkan penyembuhan lelaki itu daripada HIV hampir pasti.

"Penemuan kami menunjukkan bahawa kejayaan pemindahan sel induk sebagai penawar HIV yang pertama kali dilaporkan sembilan tahun lalu ke atas Pesakit Berlin, dapat dijalankan semula," katanya.

Kaedah itu bukanlah rawatan bagi berjuta-juta orang di seluruh dunia yang menghidap HIV.

Ini kerana terapi agresif itu digunakan khusus untuk merawat barah, bukan untuk virus HIV dihidapi mereka.

Selain itu, ubat-ubatan untuk HIV pada masa kini masih sangat berkesan dan bermakna orang yang hidup dengan virus ini dapat menjalani kehidupan lebih lama dan sihat.

"Justeru, rawatan itu tidak ditawarkan kepada mana-mana individu yang hidup dengan HIV," katanya.

Bagaimanapun, perkembangan itu memberikan harapan untuk menemukan penawar HIV, pada masa depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mac 2021 @ 6:30 AM