KUMAN TB dilihat menerusi mikroskop.
KUMAN TB dilihat menerusi mikroskop.
PESAKIT TB susut berat badan dan batuk berdarah tanpa henti.
PESAKIT TB susut berat badan dan batuk berdarah tanpa henti.
Oleh Zaitie Satibi


Paru-paru adalah organ utama yang selalu dijangkiti penyakit tuberkulosis (TB) atau batuk kering, namun penyakit ini yang berpunca daripada bakteria Mycobacterium tuberkulosis juga boleh menyerang semua organ dalam tubuh termasuk otak, jantung, tulang, kelenjar limfa, buah pinggang dan kulit.

Penyakit berbahaya ini turut digelar pembunuh kedua selepas Aids kerana menyebabkan kematian hanya dengan ejen jangkitan tunggal apabila disebarkan kepada orang lain menerusi titisan air di udara yang dicemari kuman TB daripada pesakit yang batuk atau bersin.

Namun, kemungkinan seseorang dijangkiti TB bergantung kepada daya ketahanan tubuh masing-masing berikutan mereka yang mempunyai sistem imunisasi terjejas berisiko tinggi dijangkiti TB seperti penghidap HIV, kekurangan nutrisi, pesakit diabetes dan pesakit buah pinggang tahap akhir.

Jangkitan TB meningkat mendadak pada 1985 seiring dengan kemunculan virus HIV yang menyebabkan wabak penyakit Aids akibat kelemahan sistem imunisasi tubuh.

Berdasarkan laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kira-kira satu pertiga daripada penduduk dunia mempunyai kuman TB yang terpendam dan tidak aktif dalam tubuh mereka.

Ini kerana sistem imunisasi mereka yang kuat dan mampu menghalang kuman membiak dalam tubuh. Namun, kuman terpendam itu akan aktif apabila daya ketahanan tubuh menjadi lemah.

Oleh itu, pesakit TB perlu mengambil beberapa jenis ubatan dalam jangka masa lama untuk membasmi jangkitan dan mencegah kerintangan antibiotik akibat kuman kebal kepada ubat anti TB.

Penyakit TB berlaku di seluruh dunia. Pada 2013 bilangan terbesar kes terbaru dikesan di Asia Tenggara dan Pasifik Barat merangkumi kira-kira 56 peratus kes baru secara global.

Pada tahun itu juga, 80 peratus kes dilaporkan berlaku di 22 negara, namun ada negara menunjukkan penurunan kes sedikit demi sedikit.

WHO melaporkan kira-kira 9 juta orang menghidap TB dan 1.5 juta maut akibat penyakit terbabit, manakala dianggarkan 550,000 kanak-kanak dan remaja berusia sehingga 14 tahun menghidap TB.

Ini bermaksud semua peringkat umur tidak terkecuali daripada diserang kuman TB. Risiko jangkitan lebih tinggi jika seseorang mengalami masalah kesihatan yang menjejaskan sistem imunisasi.

Tanda dijangkiti TB boleh dilihat apabila seseorang batuk berpanja­ngan lebih tiga minggu, disusuli kahak berdarah, sakit dada ketika batuk atau bernafas, berat badan susut mendadak, hilang selera makan, demam dan berpeluh pada waktu malam, mudah letih dan lemah.

Namun, tanda penyakit TB berbeza berdasarkan organ yang diserang seperti sakit belakang jika kuman menjangkiti tulang belakang dan kencing berdarah jika kuman menjangkiti buah pinggang.

Justeru pemeriksaan segera perlu dijalankan jika seseorang mengalami tanda terbabit supaya dapat mengesan penyakit sebenar dan rawatan sewajarnya dilakukan.

Pesakit HIV berisiko 26 hingga 31 kali mendapat TB dan kedua-dua penyakit ini adalah kombinasi maut apabila dilaporkan kira-kira 360,000 pesakit HIV yang meninggal dunia juga menghidap TB pada 2013. Kira-kira 25 peratus kematian dalam kalangan pesakit HIV disebabkan TB.

Bagaimanapun, rawatan atau pemberian ubat anti TB yang tidak sesuai, termasuk kualiti ubat yang rendah, menyebabkan kuman kebal terhadap ubat anti TB yang mula-mula sekali diberi untuk merawat pesakit seperti isoniazid dan rifampicin.

Antibiotik yang digunakan gagal membunuh semua kuman TB, menyebabkan kuman yang tinggal membina keupayaan rintangan terhadap ubat konvensional.

Penyakit TB boleh disembuhkan dan di Malaysia menggunakan kaedah terapi pengawasan terus (DOTS) yang diiktiraf oleh WHO. Petugas kesihatan terlatih akan mengawasi pengambilan ubat dalam tempoh tertentu antara enam hingga lapan bulan.

Pesakit mesti patuh pada jadual pengambilan ubatan bagi memastikan dia pulih sepenuhnya daripada penyakit terbabit, manakala gabungan ubat anti TB yang lebih kuat diberi kepada pesakit yang rintang terhadap antibiotik.

Sempena Hari TB Sedunia yang disambut pada 24 Mac setiap tahun, WHO menggesa tindakan solidariti global bagi menyokong strategi yang bermatlamat menamatkan epidemik TB yang berlaku di seluruh dunia.

Banyak perlu dilakukan walaupun usaha dilaksanakan sebelum ini menyelamatkan lebih 37 juta nyawa menerusi diagnosis awal dan rawatan yang dilakukan pada 2000 hingga 2013, manakala kadar kematian akibat TB juga menurun 45 peratus antara 1990 hingga 2013.

Strategi kali ini menetapkan sasaran tinggi iaitu pengurangan kematian akibat TB sehingga 95 peratus, manakala pengurangan kes jangkitan TB sebanyak 90 peratus menjelang 2035.

Bagi lima tahun berikutnya, WHO mensasarkan pengurangan kos yang perlu ditanggung pesakit TB dan keluarga mereka berikutan penyakit TB menelan kira-kira 50 peratus pendapatan yang terpaksa digunakan untuk membiayai kos rawatan dan ubatan.

Bagi mengukuhkan pelaksanaan strategi itu, WHO turut melantik duta khas TB dari Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Dr Eric P Goosby pada Januari lalu, yang akan berkongsi usaha kepakaran untuk menentang TB dan mencapai sasaran yang dipersetujui pada Perhimpunan Kesihatan Dunia, tahun lalu.

“Tindakan memerangi TB mesti dipergiatkan lagi jika kita benar-benar mahu membasmi epidemik penyakit ini. Strategi menamatkan TB menawarkan harapan baru kepada jutaan manusia yang menderitai penyakit ini dan inilah masanya kita mewujudkan dunia yang bebas TB,” kata Dr Eric.

Sambutan Hari TB Sedunia juga adalah peluang meningkatkan kesedaran mengenai penyakit TB dan beban yang perlu ditanggung di seluruh dunia.

Strategi dibuat WHO menetapkan sasaran dan menggariskan panduan kepada kerajaan untuk menyediakan pusat penjagaan pesakit, membuat polisi dan sistem untuk penjagaan dan pencegahan, mengetuai penyelidikan dan inovasi yang diperlukan untuk menamatkan epidemik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mac 2015 @ 5:04 AM