DR Norhayati. FOTO ihsan KKM
DR Norhayati. FOTO ihsan KKM
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Selangor: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus memantapkan pelaksanaan program pencegahan, kawalan, rawatan serta jagaan HIV dan AIDS selain melaksanakan insiatif baru bagi terus mengekang jangkitan HIV.

Timbalan Pengarah Kesihatan Malaysia (Kesihatan Awam) KKM Datuk Dr Norhayati Rusli berkata, KKM bekerjasama dengan pelbagai pihak atau agensi kerajaan dan bukan kerajaan termasuk komuniti.

Menurutnya, menjadi hasrat negara mengakhiri AIDS sebagai ancaman kesihatan awam pada 2030 di mana negara harus menurunkan jangkitan HIV sehingga 90 peratus mulai 2010.

"Malaysia pernah berjaya menurunkan jangkitan baru sehingga 50 peratus antara tahun 2000 dan 2009. Namun, mulai 2010 sehingga kini, kadar penurunan semakin lembab iaitu hanya 24 peratus di antara 2010 hingga 2022. Kegagalan menurunkan kadar jangkitan secara tuntas akan menyebabkan penularan terus berlaku secara senyap.

NORHAYATI (kiri) ketika melawat 'booth' pameran pada Sambutan Hari Aids Sedunia Peringkat Kebangsaan 2023 & Sihat Milik Selangor 4.0, hari ini. FOTO ihsan KKM
NORHAYATI (kiri) ketika melawat 'booth' pameran pada Sambutan Hari Aids Sedunia Peringkat Kebangsaan 2023 & Sihat Milik Selangor 4.0, hari ini. FOTO ihsan KKM

"Bukan satu tugas yang mudah untuk kita hendak mencapai hasrat mengakhiri AIDS ini dan KKM secara bersendirian tidak mampu untuk mencapainya. Saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada badan bukan kerajaan dan komuniti khususnya Majlis AIDS Malaysia dan Yayasan AIDS Malaysia serta komuniti di bawah naungannya atas sumbangan dan kerjasama yang diberikan kepada Kerajaan sejak 30 tahun lalu dalam sama-sama menangani isu HIV dan AIDS," katanya.

Beliau berkata demikian pada perasmian Sambutan Hari Aids Sedunia Peringkat Kebangsaan 2023 & Sihat Milik Selangor 4.0 yang diadakan di Dewan Berlian UiTM Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam, di sini, hari ini.

Beliau berkata, komuniti yang antaranya terdiri daripada orang yang hidup dan terjejas oleh HIV memainkan peranan penting memperjuangkan hak orang yang hidup dengan HIV.

"Komuniti juga memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesedaran mengenai HIV, memerangi stigma dan diskriminasi, mendidik masyarakat mengenai pencegahan HIV, meningkatkan akses kepada rawatan dan ujian HIV serta memperkasakan masyarakat untuk mengubah tingkah laku berisiko yang boleh membawa kepada peningkatan jangkitan HIV.

"Negara bukan sahaja berhasrat untuk menamatkan atau mengakhiri epidemik HIV/AIDS dengan meningkatkan pengetahuan masyarakat berkaitan HIV dan AIDS tetapi juga mahu rakyat sentiasa sihat dan bebas daripada pelbagai penyakit melalui kempen kesihatan seperti Kempen Sihat Milik Selangor," katanya.

GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

Sementara itu, KKM dalam kenyataan berkata, program saringan HIV akan diperluaskan dengan pelaksanaan saringan HIV kendiri yang akan menjadi pilihan tambahan terutamanya kepada populasi kunci atau kumpulan risiko untuk menjalani saringan dan mengetahui status HIV.

Liputan rawatan ubat antiretroviral (ARV) akan dipertingkatkan daripada 68 peratus pada tahun 2022 kepada 95 peratus menjelang 2030, selain memastikan orang hidup dengan HIV (ODHA) yang menerima rawatan ARV ini mencapai status U=U (undetectable = untransmittable).

Hari AIDS Sedunia tahun ini disambut dengan tema ditetapkan oleh Joint United Nation Programme on HIV and AIDS (UNAIDS) iaitu Let Communities Lead dan Malaysia memilih slogan 'Komuniti Peneraju Bersama'.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Disember 2023 @ 1:56 PM