Rakyat Ukraine yang tinggal di Perancis mengumpulkan makanan, ubat-ubatan untuk dihantar ke sempadan Ukraine. FOTO AFP
Rakyat Ukraine yang tinggal di Perancis mengumpulkan makanan, ubat-ubatan untuk dihantar ke sempadan Ukraine. FOTO AFP
AFP

Rom: Lonjakan krisis makanan di kawasan konflik di Ukraine, gangguan dalam pengeluaran dan eksport hingga boleh menjejaskan keselamatan makanan di seluruh dunia.

Itu amaran dikeluarkan Program Makanan Sedunia (WFP) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat berkaitan peperangan yang sedang meletus di Ukraine.

Pengarah WFP, David Beasley berkata, peluru dan bom di Ukraine boleh membawa krisis kebuluran global ke tahap melebihi apa yang dilihat sebelum ini.

Agensi berpangkalan di Rom itu menubuhkan hab di negara-negara bersempadan dengan Ukraine untuk membantu dalam penghantaran bantuan makanan ke Ukraine, sambil membantu pelarian yang melarikan diri.

Russia dan Ukraine bersetuju pada Khamis untuk melaksanakan koridor kemanusiaan, lapan hari selepas Russia menyerang Ukraine, menghantar gelombang pelarian ke negara jiran di barat Ukraine.

Dalam perkembangan berkaitan, WFP turut memaklumkan terdapat laporan kekurangan makanan dan air yang teruk di Kyiv dan timur Kharkiv.

"Dengan konsainan bantuan makanan yang tiba setiap hari, WFP kesuntukan masa untuk menempatkan bekalan makanan di kawasan yang dijangka berlaku pertempuran," katanya.

Untuk rekod, Russia dan Ukraine menyediakan kira-kira 29 peratus daripada perdagangan gandum global.

Menurutnya, gangguan serius dalam pengeluaran dan eksport boleh menyebabkan harga makanan yang sudah berada pada paras tertinggi dalam tempoh 10 tahun akan lebih tinggi lagi.

"Ini akan menghakis jaminan keselamatan makanan untuk jutaan orang, terutama yang sudah mengalami tekanan kerana tahap inflasi makanan tinggi di negara mereka," katanya.

WFP berkata peningkatan harga boleh menyebabkan agensi itu menanggung kos antara AS$60 juta (RM250 juta) hingga AS$75 juta (RM313 juta) sebulan dalam kos operasi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Mac 2022 @ 10:00 AM