CRISTIANO Ronaldo. FOTO AFP
CRISTIANO Ronaldo. FOTO AFP
Agensi

London: Bintang Manchester United, Cristiano Ronaldo menyertai seruan keamanan berikutan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.

Presiden Rusia, Vladimir Putin mengumumkan perang ke atas Ukraine, Isnin lalu sebelum melancarkan serangan di seluruh negara sehingga berdepan kritikan masyarakat antarabangsa.

Pemain berusia 37 tahun itu menerusi Instagram miliknya yang mempunyai 407 juta pengikut itu berkata: "Kita perlu mencipta dunia yang lebih baik untuk anak-anak kita. Berdoa untuk keamanan di dunia kita."

Pemenang anugerah Ballon d'Or sebanyak lima kali itu pernah beraksi bersama penjaga gol Ukraine, Andriy Lunin ketika di Real Madrid sebelum berhijrah ke Juventus.

Kelab Ronaldo ketika ini, United membatalkan penajaan bernilai £40 juta (RM225.3 juta) dengan Aeroflot.

Perjanjian selama enam tahun dengan syarikat penerbangan Rusia itu masih berbaki 18 bulan tetapi semalam United mengesahkan bahawa ia sudah ditamatkan.

Kelab itu sudah mengambil tindakan menyingkirkan semua jenama Aeroflot di Old Trafford yang mana sebelum ini ia jelas tertera di tempat letak kereta di Stretford End.

Dilaporkan beratus-ratus rakyat Ukraine maut dan jumlah itu dijangka terus meningkat berikutan serangan Rusia ke atas Ukraine.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Februari 2022 @ 9:49 PM