GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Tindakan India yang menyekat eksport gandum dijangka tidak akan menjejaskan bekalan tepung gandum untuk kegunaan am di Malaysia, kata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Menurut Ketua Unit Komunikasi Korporatnya Yunus Tasim, negara tidak mengimport gandum dari India sebaliknya, 80 peratus bijirin itu diimport dari Australia selain Amerika Syarikat, Kanada dan Ukraine.

Susulan itu, katanya, yakin larangan eksport dari India tidak akan memberi tekanan hingga menjejaskan bekalan negara.

"Gandum yang kita import bukan dari India tetapi pelbagai negara terutama Australia. Kita dapati negara-negara yang kita import tidak mengalami masalah sama (seperti India) dan tidak membuat larangan eksport," katanya ketika dihubungi hari ini.

Bagaimanapun Yunus berkata, KPDNHEP tidak memandang ringan perkara berkenaan sebaliknya mengambil beberapa langkah, antaranya meneruskan aktiviti pemantauan dengan bantuan 2,200 penguat kuasa di seluruh negara.

"Pemantauan itu bertujuan memastikan bekalan bagi dua kategori tepung iaitu bersubsidi dan tidak bersubsidi mencukupi di pasaran.

"Jika ada masalah kekurangan bekalan di suatu lokaliti, ada kemungkinan itu disebabkan pembekalan di kedai berkenaan.

"Namun, KPDNHEP mempunyai pelbagai strategi (memastikan bekalan cukup) termasuk mengehadkan pembelian jika perlu seperti dikenakan pada minyak masak," katanya.

India dilapor mengenakan larangan eksport gandum berkuat kuasa serta-merta, kelmarin susulan gelombang haba akibat cuaca panas terik yang menjejaskan hasil tanaman dan harga bekalan tempatan mencecah rekod tertinggi.

Bagaimanapun, kerajaan India masih membenarkan eksport membabitkan surat kredit yang sudah dikeluarkan, serta atas permintaan negara yang berusaha memenuhi keperluan keselamatan makanan mereka.

Pembeli global bergantung kepada negara pengeluar gandum kedua terbesar di dunia itu selepas eksport dari wilayah Laut Hitam merudum susulan krisis pencerobohan Russia terhadap Ukraine.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mei 2022 @ 3:46 PM