Penduduk di wilayah Utrecht mendapatkan suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 di Amersfoort, Belanda. - FOTO EPA
Penduduk di wilayah Utrecht mendapatkan suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 di Amersfoort, Belanda. - FOTO EPA
Agensi

Amsterdam: Perdana Menteri (PM) Belanda, Mark Rutte mengakui bahawa pentadbirannya telah membuat kesilapan dalam strategi mengatasi Covid-19.

Ini kerana menurutnya, ia sepatutnya memulakan kempen dos penggalak vaksin Covid-19 lebih awal.

Sputnik News melaporkan, Rutte mengakui kepada akhbar Dutch De Telegraaf bahawa rangkaian tindakan anti-Covid-19 pertama yang diperkenalkan pada November lalu 'terlalu longgar' dan kempen suntikan dos penggalak dimulakan terlalu lewat.

"Saya membuat kesalahan dalam komunikasi. Pada awalnya saya terlalu menekankan tanggungjawab individu berbanding tindakan yang lebih penting," katanya.

Menurutnya, penduduk Belanda juga tidak cukup berdisiplin untuk mematuhi peraturan ketat yang ditetapkan ketika pandemik.

Ketika ini, Belanda adalah antara negara di Eropah yang baru memulakan pemberian suntikan penggalak.

Terdapat sekitar dua juta dari lebih 17 juta penduduk di negara itu telah mendapatkan suntikan penggalak.

Sehingga Khamis lalu, sebanyak 59 peratus daripada keseluruhan kes baru yang dicatatkan di Belanda adalah varian Omicron.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Disember 2021 @ 6:18 PM