Petugas menyiapkan vaksin untuk orang ramai yang menerima dos penggalak Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Integrasi Axiata Arena, Bukit Jalil. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Petugas menyiapkan vaksin untuk orang ramai yang menerima dos penggalak Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Integrasi Axiata Arena, Bukit Jalil. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Kegiatan menjual sijil vaksinasi tanpa suntikan vaksin Covid-19 dikhuatiri semakin merebak ke seluruh negara jika dos penggalak dijadikan mandatori atau syarat wajib untuk bergerak bebas.

Meluahkan kebimbangan itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, ramai yang tidak mahu dos penggalak akan membeli sijil vaksinasi palsu.

Beliau berkata, kegiatan jenayah berkenaan agak sukar untuk dipantau kerana ia membabitkan persetujuan bersama antara penerima dan doktor.

Justeru, katanya, faktor amanah dan etika adalah amat kritikal.

"Mengenai ramai tidak setuju peranan klinik swasta untuk terbabit vaksinasi Covid-19, persoalan timbul adakah perlu hanya klinik kerajaan sahaja dibenarkan untuk beri vaksinasi dalam situasi sekarang?.

"Bagi saya, Pusat Pemberian Vaksin swasta diadakan untuk mengurangkan beban klinik kerajaan dan memudahkan orang ramai.

"Kegiatan urusniaga sijil vaksinasi tanpa suntikan vaksin yang berlaku ketika ini adalah faktor manusia iaitu penerima dan pemberi perkhidmatan," katanya.

Beliau berkata, selain golongan antivaksin, kemungkinan besar turut tertarik dengan tawaran sijil vaksinasi tanpa suntikan adalah golongan yang sudah pun lengkap menerima dua suntikan vaksin Covid-19 namun melakukan kesalahan itu untuk dos penggalak.

"Kerajaan tidak perlu jadikan dos penggalak sebagai mandatori atau pelaksanaannya terlalu keras. Biarlah ia sebagai pilihan individu itu sendiri secara sukarela," katanya.

Muka depan Harian Metro hari ini melaporkan kes penipuan membabitkan sijil vaksinasi Covid-19 tanpa suntikan dilihat semakin membimbangkan apabila beberapa premis perubatan swasta dikesan melakukan jenayah itu.

Peningkatan kes dilaporkan berlaku di lima negeri iaitu Terengganu, Selangor, Kelantan, Johor dan Kedah susulan pemantauan serta risikan yang dijalankan Polis Diraja Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 January 2022 @ 1:11 PM