BORIS Johnson. FOTO AFP
BORIS Johnson. FOTO AFP
AFP

London: United Kingdom (UK) menaikkan tahap amaran Covid-19 kepada empat sebagai tindak balas kepada varian Omicron yang pantas merebak.

Pihak berkuasa perubatan memberi amaran kemasukan ke hospital mungkin meningkat dengan mendadak dalam beberapa minggu akan datang.

Ketua Pegawai Perubatan England, Scotland, Wales dan Ireland Utara mengesyorkan peningkatan kepada Tahap 4 daripada Tahap 3, yang bermaksud penularan virus itu dinilaikan sebagai tinggi.

Tahap 5 adalah tahap amaran maksimum, bermakna perkhidmatan kesihatan berisiko terbeban.

Dalam satu kenyataan, pegawai perubatan berkata, bukti awal menunjukkan Omicron merebak jauh lebih cepat daripada Delta dan perlindungan vaksin terhadap penyakit bergejala daripada varian Omicron berkurang.

Sementara itu, Perdana Menteri UK Boris Johnson berkata, saintis memaklumkan Omicron lebih mudah menular dan perkhidmatan kesihatan negara akan berjuang untuk menghadapi kemasukan ke hospital jika varian itu mengancam populasi yang belum menerima dos penggalak.

"Saya bimbang kita kini menghadapi kecemasan dalam pertempuran kita dengan varian baharu Omicron dan kita mesti segera mengukuhkan dinding perlindungan vaksin kita untuk memastikan rakan dan orang tersayang selamat.

"Empat ketua pegawai perubatan UK menaikkan tahap amaran Covid-19 kepada empat, tahap kedua tertinggi kerana kes jangkitan Omicron meningkat dua kali ganda di UK, setiap dua hingga tiga hari," katanya.

Johnson berkata, semua individu yang layak berumur 18 tahun ke atas di England akan berpeluang untuk mendapatkan dos penggalak mereka sebelum tahun baharu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Disember 2021 @ 9:45 AM