KOTAK mengandungi pil rawatan Covid-19, Paxlovid disimpan di sebuah gudang di Memphis, Tennessee, Amerika Syarikat. - Reuters
KOTAK mengandungi pil rawatan Covid-19, Paxlovid disimpan di sebuah gudang di Memphis, Tennessee, Amerika Syarikat. - Reuters
minda

Ketika varian Omicron mula dikesan, semua pihak mula panik dan mengambil langkah berjaga-jaga. China sebagai contoh mengambil langkah luar biasa dengan melaksanakan perintah berkurung walaupun ketika itu angka jangkitan hanya satu digit.

Apabila ia mula merebak, semakin banyak bandar dikenakan peraturan sama.

Selain China, Jepun turut mengambil langkah membendung penularan dengan memendekkan operasi bar, restoran dan kafe.

Bagaimanapun, langkah seumpama itu tidak berlaku di seluruh dunia kerana ada negara yang mengambil sikap tunggu dan lihat serta tidak mahu lagi 'mengurung' rakyatnya.

Langkah berkenaan dilihat bertepatan apabila varian Omicron yang dilihat mudah menular tidak 'seganas' Delta yang menjadi punca banyak kehilangan nyawa pada tahun lalu.

AFP melaporkan vaksin Covid-19 dan suntikan penggalak menunjukkan keberkesanan sangat tinggi terhadap penyakit teruk disebabkan Omicron.

Penemuan itu berdasarkan satu kajian dunia oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS) yang menilai data dari lebih 300,000 lawatan ke jabatan kecemasan, klinik penjagaan segera dan kemasukan hospital di 10 negeri, bermula 26 Ogos tahun lalu hingga 5 Januari lalu.

Sepanjang tempoh itu, apabila varian Delta menjadi dominan, keberkesanan vaksin terhadap kemasukan ke hospital adalah 90 peratus, antara 14 hingga 179 hari selepas dos kedua vaksin.

Ia turun kepada 81 peratus lebih daripada 180 hari selepas dos kedua dan meningkat kepada 94 peratus (14 hari) atau lebih selepas dos ketiga.

Selepas Omicron menjadi dominan, anggaran keberkesanan vaksin terhadap kemasukan ke hospital antara 14 hingga 179 hari selepas dos kedua ialah 81 peratus, 57 peratus (lebih daripada 180 hari) daripada dos kedua dan 90 peratus (14 atau lebih hari) selepas dos ketiga.

Secara tidak langsung, vaksin menjalankan tugas yang baik melindungi individu daripada gejala teruk yang disebabkan Omicron.

Berikutan keadaan sedikit tenang, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Eropah menyatakan bahawa Omicron membawa pandemik Covid-19 ke fasa baharu dan mungkin boleh berakhir.

Pengarah WHO Eropah, Hans Kluge dalam temubual bersama AFP berkata, adalah munasabah bahawa rantau itu sedang menuju ke arah pengakhiran pandemik.

Beliau menyifatkan apabila lonjakan semasa Omicron yang melanda seluruh Eropah reda, akan terdapat imuniti global selama beberapa minggu dan bulan, sama ada kerana vaksin atau penduduk yang membentuk imuniti akibat jangkitan, mahupun disebabkan musim kurang sibuk.

Bagaimanapun, katanya, ketika ini adalah tempoh bertenang buat Covid-19 namun ia mungkin kembali menjelang hujung tahun tetapi tidak akan menyebabkan pandemik berulang.

Namun, Kluge memberi amaran bahawa masih terlalu awal untuk menganggap Covid-19 sebagai endemik kerana virus berkenaan pernah mengejutkan dunia perubatan lebih daripada sekali dan semua pihak perlu berhati-hati.

Sebagaimana negara lain, Malaysia turut mengambil sikap berhati-hati dan di kala munculnya Omicron, perkataan paling popular namun ditakuti kita semua adalah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Semua sedia maklum apa kesan PKP kepada sebahagian besar rakyat Malaysia dan kita tidak mahu ia berulang.

Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini memberi kelegaan kepada rakyat Malaysia.

Perdana Menteri berkata, kerajaan mengulangi pendirian untuk tidak melaksanakan sekatan terhadap pergerakan rakyat dan sektor ekonomi walaupun berlaku penularan Covid-19.

Beliau berkata, tumpuan kerajaan ketika ini adalah terus mengurangkan kes pandemik dan pada masa sama memulihkan ekonomi.

Katanya, tiada istilah menyekat pergerakan dari daerah ke daerah dan negeri ke negeri lain sebaliknya hanya menutup sempadan negara.

Maka, usahlah menambah keruh di media sosial dengan mengatakan kita tidak boleh menyambut Aidilfitri tahun ini kerana PKP.

Paling utama adalah jalankan tanggungjawab masing-masing menjaga diri dan dapatkan dos penggalak sebagaimana yang disarankan.

Penulis Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 January 2022 @ 7:00 AM