GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Kerajaan perlu merancakkan semula program suntikan dos penggalak Covid-19 bagi memastikan lebih ramai rakyat dilindungi, khususnya ketika negara berdepan gelombang varian Omicron.

Pakar Kesihatan Awam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Profesor Dr Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, walaupun kesan jangkitan varian Omicron tidak seteruk Delta, ia dikhuatiri meningkatkan kapasiti kemasukan hospital dan risiko maut.

Katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) perlu mempelbagaikan kempen dan program agar kesedaran kepentingan dos penggalak ini diketahui.

"Program dos premier sebelum ini berjaya kerana lebih 90 peratus rakyat negara ini sudah menerima vaksin Covid-19 seterusnya penularan terkawal.

"Namun varian Omicron ini yang menjadi superspreader (perebak utama) menyebabkan kes positif kembali meningkat selain pelbagai faktor lain seperti cuti umum panjang," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, dos penggalak diperlukan untuk meningkatkan semula antibodi seseorang itu selepas beberapa bulan disuntik dos premier.

Katanya, suntikan dos penggalak ini penting kerana pelbagai varian baharu dikesan dan ada antaranya mudah merebak seperti Omicron.

"Kemunculan varian baharu ini menyebabkan dos penggalak itu penting bagi memastikan antibodi terus kekal pada tahap yang optimum," katanya.

Kes baharu Covid-19 di Malaysia sudah melangkaui 10,000 kes semalam yang mempunyai kaitan dengan penularan varian Omicron.

KKM juga menjangkakan kes jangkitan Covid-19 boleh mencecah sehingga 22,000 kes menjelang akhir Mac ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Februari 2022 @ 1:18 PM