FOTO HIASAN REUTERS
FOTO HIASAN REUTERS
Reuters

Jerusalem: Israel tetap menawarkan dos keempat vaksin Covid-19 walapun penemuan awal mendapati ia tidak memadai mencegah jangkitan Omicron, kata seorang pegawai kesihatan kanan yang menjangkakan penularan yang dicetuskan oleh varian itu akan berkurangan dalam masa seminggu.

Antara yang terpantas melancarkan program vaksinasi tahun lalu, Israel pada bulan lalu mula menawarkan dos keempat atau dos penggalak kedua kepada kumpulan rentan dan berisiko tinggi.

Penemuan awal yang diterbitkan oleh hospital Israel pada Isnin mendapati dos keempat meningkatkan antibodi kepada tahap lebih tinggi berbanding dos ketiga, namun ia 'mungkin' tidak memadai untuk mengekang Omicron.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Nachman Ash menyifatkan penemuan itu sebagai 'tidak mengejutkan' kerana jangkitan Omicron sudah menjangkiti sebahagian individu selepas menerima dos keempat.

"Namun, kita mahukan perlindungan daripada tahap serius terutama penduduk lanjut usia dan mereka yang berisiko tinggi, dan itu yang boleh diberikan vaksin ini.

"Saya menyeru agar semua orang tampil mendapatkan vaksin," katanya kepada Army Radio.

Seperti di tempat lain, Israel telah melihat kes Covid-19 meningkat disebabkan oleh Omicron. Tetapi ia tidak mencatatkan kematian daripada varian itu, dan Ash berkata, tiada peningkatan dalam bilangan pesakit Covid-19 pada mesin ECMO - ukuran bagi kes paling kritikal.

"Dalam beberapa minggu lagi kita akan mula melihat penurunan dalam jumlah pesakit, tetapi kita masih mempunyai dua atau tiga minggu sukar untuk ditempuhi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 January 2022 @ 5:12 PM