VARIAN Omicron lima kali ganda lebih mudah menular berbanding virus asal, manakala varian Delta pula dua kali lebih mudah berjangkit berbanding virus asal.
VARIAN Omicron lima kali ganda lebih mudah menular berbanding virus asal, manakala varian Delta pula dua kali lebih mudah berjangkit berbanding virus asal.
Fairul Asmaini Mohd Pilus
asmaini@mediaprima.com.my


KETIKA kita sedang seronok menikmati kelonggaran yang diberikan kerajaan, jangan sesekali leka kerana perjuangan melawan Covid-19 masih belum sampai ke penghujungnya.

Perjuangan melawan virus membunuh itu masih berterusan kerana terdapat beberapa varian baharu yang kian pantas menular.

Sebelum ini, dos penggalak tidak diperlukan namun dengan data penyelidikan terkini dan penularan varian terbaharu menyebabkan seluruh dunia mengesyorkan suntikan penggalak.

Ketua dan Perunding Penyakit Berjangkit Pusat Pengajian Perubatan, Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), Profesor Dr James Koh berkata, perubahan itu berlaku kerana semakin banyak yang dipelajari mengenai virus itu dari semasa ke semasa.

Menurut Prof James, pada mulanya, dua dos vaksin sudah difikirkan memadai tetapi penyelidikan diteruskan dan menerusi data terbaharu, kini tahu bahawa kesan perlindungan (atau tahap peneutralan antibodi) bagi semua vaksin cenderung menurun mengikut peredaran masa.

"Itulah sebabnya kena kerajaan Malaysia dan pihak berkuasa lain di seluruh dunia kini turut mengesyorkan suntikan dos penggalak," katanya.

Mengulas lanjut, Prof James berkata, ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana kebanyakan vaksin sememangnya ada dos penggalak.

Misalnya, vaksin Hepatitis B ada tiga dos suntikan yang mana dos kedua dan ketiga adalah dos penggalak.

"Suntikan dos penggalak anti-Tetanus pula sepatutnya diberikan sekali dalam tempoh setiap 10 tahun, manakala suntikan vaksin pneumokokal yang memberi perlindungan daripada pneumonia disarankan sekali setiap lima tahun.

"Ia bukanlah unik kepada vaksin Covid-19 -sahaja, kita mungkin tidak biasa dengan vaksin dos penggalak kerana rakyat Malaysia tidak biasa mendapatkan vaksinasi.

"Begitu juga dengan dos penggalak untuk Influenza yang disarankan diambil setiap tahun namun tidak ramai yang melakukannya," katanya.

Menurut beliau lagi, keperluan untuk dos penggalak menjadi mendesak untuk rakyat Malaysia kerana majoriti populasi masyarakat terutamanya yang mendapat suntikan vaksin Sinovac sebagai vaksinasi utama pada fasa awal.

Statistik daripada Real-World Evaluation of Covid-19 Vaccines di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (RECoVaM) menunjukkan perlindungan vaksin Sinovac terhadap jangkitan Covid-19 menurun dari 76 peratus dalam dua bulan pertama selepas vaksinasi lengkap kepada cuma 28 peratus dalam bulan ketiga hingga kelima dan kajian antarabangsa turut mengesahkan dapatan itu.

"Pada bulan ketiga, kajian mendapati tahap peneutralan antibodi dalam vaksin Sinovac adalah kurang daripada 50 peratus dan pada bulan keenam, ia hampir tidak dapat dikesan," katanya.

Prof James berkata, bagi vaksin Pfizer dan AstraZeneca pula, keberkesanannya mula menunjukkan penurunan pada bulan keenam.

Oleh itu, adalah penting untuk mendapatkan suntikan dos penggalak yang secara asasnya membangkitkan semula sistem imuniti badan untuk menghasilkan antibodi.

"Suntikan dos penggalak ini bukanlah pengakhiran kerana akan ada dos penggalak lain dan seterusnya.

"Kita tidak tahu sebanyak mana tetapi yang pasti, ini bukanlah yang terakhir," katanya.

Dalam pada itu, timbul soal isu keselamatan apabila dua jenis vaksin dicampurkan yang turut menimbulkan keraguan.

Pada awal November, Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit (CDC) memberikan kebenaran untuk 'menggabung padankan' vaksin berbeza sebagai dos penggalak.

Namun begitu, masih berlegar kenyataan Ketua Saintis Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Sourmya Swaminathan pada Julai lalu yang mengatakan tiada lagi data bagi kaedah gabung padan vaksin itu.

Swaminathan bagaimanapun menjelaskan bahawa individu tidak sepatutnya membuat keputusan sendiri, tetapi perlu bergantung kepada agensi-agensi kesihatan berdasarkan data sedia ada.

Prof James berkata, data yang tersedia kini semakin meningkat dan bukti daripada negara-negara yang sudah pun melancarkan sistem 'gabung padan' vaksin itu menunjukkan hasil yang baik.

Katanya, kajian di Singapura mendapati penurunan risiko jangkitan sebanyak 72 peratus apabila mencampurkan vaksinasi utama Pfizer dengan dos penggalak Moderna, berbanding 62 peratus sahaja bagi mereka yang mendapatkan suntikan Pfizer untuk suntikan pertama, kedua dan ketiga.

"Data daripada Kementerian Kesihatan Chile menunjukkan campuran vaksinasi utama Sinovac dengan dos penggalak Pfizer menghasilkan kadar keberkesanan sebanyak 95 peratus terhadap virus itu.

"Ia adalah satu lonjakan besar berbanding pemberian tiga dos vaksin Sinovac yang menunjukkan keberkesanan sebanyak 74 peratus," katanya.

Prof James turut menggalakkan semua orang untuk mendapatkan suntikan dos penggalak tanpa mengira campurannya kerana tidak mengambil dos penggalak adalah lebih berbahaya.

Katanya, mengambil apa sahaja dos penggalak adalah lebih baik daripada tidak mengambilnya langsung.

"Ini bermakna mereka yang mengambil suntikan Sinovac contohnya lambat laun mungkin perlu mendapatkan dos penggalak lebih awal.

"Setiap individu yang dibenarkan mengambil dua dos pertama boleh mengambil dos penggalak, "katanya.

Prof James berkata, bagi individu yang mempunyai sistem imuniti badan yang berkurangan seperti pesakit HIV/AIDS, mereka yang menjalani pemindahan organ atau pesakit barah, dos penggalak barangkali menjadi suntikan dos keempat.

"Sesetengah daripada mereka pada mulanya mungkin perlu mendapatkan tiga dos bagi merangsang sistem imuniti badan untuk menghasilkan antibodi.

"Bagi golongan ini, dos penggalak adalah dos keempat mereka dan adalah selamat dalam kes-kes sedemikian," katanya.

Sementara itu, landskap terus mengalami perubahan dengan kemunculan varian-varian baharu seperti Omicron namun masih banyak yang perlu diketahui mengenai strain baharu berkenaan.

Dapatan awal mencadangkan bahawa varian Omicron lima kali ganda lebih mudah menular berbanding virus asal, manakala varian Delta pula dua kali lebih mudah berjangkit berbanding virus asal.

Ini bermakna, seorang yang dijangkiti varian Delta boleh menjangkiti dua orang lain, manakala seorang yang dijangkiti varian Omicron boleh menjangkiti lima orang lain.

Jelas Prof James, varian Omicron juga tiga kali lebih tinggi berkebolehan menjangkiti semula, ia bermakna seseorang itu boleh dijangkiti berulang kali.

Namun, berita yang membawa petanda baik adalah kenyataan daripada Pfizer dan BioNTech yang mengatakan tiga dos vaksin Pfizer masih memberikan perlindungan terhadap varian Omnicron dari mendapat sakit yang teruk.

Kata beliau, data setakat ini menunjukkan gejala bagi mereka yang dijangkiti varian terbabit adalah ringan dalam kalangan orang dewasa, manakala kanak-kanak mengalami gejala yang lebih berat.

"Ini berkemungkinan disebabkan kanak-kanak di bawah 12 tahun belum divaksinasi.

"Vaksin akan terus dipertingkatkan, sekiranya tidak mengambil dos penggalak sekarang, kita masih perlu mendapatkannya pada masa hadapan.

"Jadi, buatlah pilihan yang betul sama ada mahu mengambil dos penggalak atau tidak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 January 2022 @ 7:01 AM