STERN miliki IQ mencecah 200.
STERN miliki IQ mencecah 200.
Agensi

London: Umum mengetahui Albert Einstein dan Stephen Hawking adalah dua individu yang memiliki tahap kecerdasan intelektual (IQ) tertinggi melebihi 160.

Namun, sebenarnya masih terdapat beberapa wanita di dunia yang pintar dan hebat serta mempunyai tahap IQ lebih tinggi daripada dua individu itu.

Berikut dikongsikan rangkuman Wonderslist mengenai 10 wanita yang memiliki IQ tertinggi di dunia:

1. Edith Stern (Tahap IQ 200)

Menjadi wanita paling genius dilahirkan setakat ini dengan IQ mencecah 200.

Ketika usianya setahun, dia mampu mengira serta petah bertutur, malah sebelum 18 tahun dia memperoleh banyak gelaran sarjana.

Beliau turut memiliki 128 hak cipta Amerika Syarikat atas namanya selain turut meraih pelbagai pengiktirafan termasuk pencapaian seumur hidup dalam bidang teknikal.

2. Hypatia (Tahap IQ lebih 190)

Beliau adalah anak perempuan kepada ahli matematik terkenal, Theon Alexandria.

Seorang ahli falsafah, astronomi dan matematik di Mesir serta sepanjang Empayar Byzantine.

Beliau berjaya menemui pelbagai instrumen ilmiah seperti hidrometer dan astrolab zaman dulu yang digunakan ahli astronomi, pelayar dan ahli astrologi.

3. Marilyn vos Savant (Tahap IQ 190)

Beliau adalah seorang kolumnis majalah dan penulis. Dalam sebuah majalah, beliau memiliki ruangan khusus Ask Marilyn bagi menjawab banyak pertanyaan dan memecahkan teka-teki.

Namanya bahkan muncul di Guinness World Records kerana ketinggian IQ dimilikinya melebihi tahap IQ Einstein dan Hawking.

4. Marie Curie (Tahap IQ 185)

Seorang tokoh paling ikonik dalam sejarah. Ahli kimia dan fizik Perancis-Poland yang terkenal kerana kajiannya dalam bidang radioaktif.

Pernah meraih dua Hadiah Nobel pada 1903 dalam bidang fizik dan kimia pada 1911.

Beliau juga ilmuwan wanita paling popular dan banyak pencapaian diraih serta sumbangan diberikan.

Malah, selepas lebih 80 tahun sejak kematiannya, jasadnya dikatakan masih mempunyai sisa radioaktif.

5. Germaine Stael (Tahap IQ antara 180 hingga 185)

Beliau turut dikenali sebagai Madame de Stael dilahirkan di Paris pada 1766.

Seorang pengulas sosial dan aktivis politik Perancis selain penulis terkenal banyak menulis karya indah.

Beliau juga pengkritik utama Napoleon Bonaparte yang pernah melarangnya berada di Perancis kerana karya tulisannya.

Selepas membawa diri ke Jerman, beliau aktif dalam organisasi, Goethe Group yang menyokong budaya Jerman secara meluas di luar negara.

6. Grace Hopper (Tahap IQ 175)

Seorang saintis komputer berasal dari Amerika Syarikat dan pelopor pengaturcaraan komputer yang mencipta salah satu penghubung pertama pemprograman komputer.

Pada usianya 34 tahun cuba menyertai tentera laut, namun kariernya itu tidak berpanjangan.

Sejak itu, beliau memutuskan menyertai bidang teknologi hingga sumbangannya dimanfaatkan hingga hari ini.

7. Ruth Lawrence (Tahap IQ 175)

Seorang profesor matematik hebat dalam bidang teori knot dan algebra.

Ketika usianya 10 tahun, beliau lulus dengan cemerlang memasuki Universiti Oxford serta menjadi orang termuda lulusan universiti terkemuka dunia itu pada zaman moden.

8. Judit Polgar (Tahap IQ 170)

Dilahirkan pada 23 Julai 1976, beliau dianggap sebagai pemain catur wanita terbaik yang pernah ada.

Ketika usianya 15 tahun lagi, beliau meraih gelaran Grandmaster dalam catur, malah memecah rekod pemain termuda tersenarai dalam kedudukan 100 pemain teratas Persekutuan Catur Antarabangsa (FIDE).

Beliau juga pernah berlawan dengan pemain catur terkenal termasuk Vishwanathan Anand dan Garry Kasparov.

9. Fabiola Mann (Tahap IQ 162)

Kepintarannya dikenal pasti ketika usianya 21 tahun apabila meraih skor IQ sebanyak 162.

Beliau mengasah mindanya dengan bermain catur selain aktif dalam olahraga serta karate hingga mencapai tali pinggang ungu.

Beliau meminati muzik, gemar bermain gitar dan berminat membina kerjaya dalam bidang perubatan.

10. Olivia Manning (Tahap IQ 162)

Beliau menjalani ujian penilaian IQ ketika usianya 12 tahun lagi.

Seluruh dunia terkejut pada usia sebegitu muda, beliau mampu menandingi Einstein dan Hawking apabila meraih skor IQ tinggi, 162 pada tahun 2012.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Mei 2021 @ 6:31 AM