SEBAHAGIAN daripada  309 pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan yang berjaya menamatkan latihan Persijilan Tahap 1 bersama Ketua Pengarah AADK, Tuan Sutekno Ahmad (duduk tengah).
SEBAHAGIAN daripada 309 pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan yang berjaya menamatkan latihan Persijilan Tahap 1 bersama Ketua Pengarah AADK, Tuan Sutekno Ahmad (duduk tengah).
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kuala Lumpur: Cabaran dihadapi Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bagi menghadapi isu penyalahgunaan dan penagihan dadah semakin kompleks.

Menyedari getir dilalui agensi berkenaan, AADK sentiasa berusaha memberikan ilmu dan kemahiran terbaik berasaskan pembuktian evidence-based kepada pegawainya dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada bekas penagih, keluarga dan komuniti.

Ketua Pengarah AADK, Tuan Sutekno Ahmad Belon berkata, seramai 309 pegawainya menamatkan latihan Persijilan Tahap 1 bagi tiga program persijilan AADK sepanjang Tahun 2021.

Menurutnya, tiga persijilan itu Sijil Amalan Pendidikan Pencegahan (CPE), Sijil Amalan Rawatan dan Pemulihan (CPP) serta Sijil Amalan Penguatkuasaan (CEP).

"Bagi memenuhi kriteria persijilan tahap 1, pegawai AADK perlu melepasi empat modul bagi CPE dan CPP selain tiga modul CEP.

"Program persijilan ditawarkan Pusat Latihan AADK (PLAK) bersifat komprehensif dan berkualiti dalam tiga bidang teras AADK bermula Peringkat Asas (Tahap 1), Pertengahan (Tahap 2), Lanjutan (Tahap 3) dan Kepakaran (Tahap 4) dengan jumlah keseluruhan sebanyak 12 program persijilan," katanya.

Beliau berkata, berpaksikan moto Pemangkin Tradisi Kepakaran dan tema Di Sini Lahirnya Pegawai Agensi Bertauliah, PLAK yang kini menjangkau usia 18 tahun berjaya melahirkan pegawai agensi yang mempunyai pentauliahan dalam tiga bidang teras utama itu.

"Kejayaan itu sekali gus menyaksikan PLAK kekal dengan objektif awal penubuhannya untuk melahirkan lebih ramai tenaga profesional AADK yang mampu memimpin masyarakat serta membangun negara.

"Dengan lakaran sejarah ini, Pusat Latihan AADK ini terus bergerak secara proaktif dan agresif selaku pusat kecemerlangan berkualiti dan melahirkan pegawai agensi berpengetahuan dan kompeten dalam perkhidmatan rawatan dan pemulihan, pendidikan pencegahan dan penguatkuasaan antidadah," katanya ketika merasmikan Majlis Pentauliahan Persijilan AADK 2022 di Pusat Latihan AADK di Sungai Petani, Kedah.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan), Chan Hong Jin, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Datuk Dr Muhamad Sade Mohammad Amin dan Pengerusi Lembaga Penasihat Pusat Latihan AADK, Dr. Sabri Zainudin @ Zainol.

Tuan Sutekno berkata, pencapaian pegawai AADK dalam program berkenaan menjadi tanda aras penting kepada AADK bagi meyakinkan klien (bekas penagih), keluarga dan komuniti berhubung mutu perkhidmatan ditawarkan AADK kepada institusi dan komuniti.

"Menjadi tanggungjawab AADK meyakinkan mereka menerima perkhidmatan disediakan AADK sama ada melalui saluran in-situ, telefon ataupun online (dalam talian)," katanya.

"Cabaran kita untuk mendepani masalah penyalahgunaan dan penagihan dadah semakin kompleks. AADK perlu sentiasa berada dalam keadaan terbaik serta memiliki kemahiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 November 2022 @ 6:43 PM